Mujahid (duduk tiga kanan) bersama Aminuddin bergambar dengan tetamu pada Majlis Penerangan Maqasid Syariah Peringkat Negeri Sembilan hari ini. FOTO Hasriyasyah Sabudin


KERAJAAN Negeri Sembilan bersetuju mengenai cadangan larangan sepenuhnya bagi vape atau rokok elektronik di negara ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, rokok elektronik itu boleh didapati dalam pelbagai bentuk selain penggunaannya dalam kalangan pelajar ketika ini membimbangkan.

“Patutnya isu larangan penjualan vape ini sudah selesai dulu dan ia pernah diharamkan, tapi kini timbul semula.

“Jadi saya harap kerajaan dapat membuat keputusan segera mengenai isu vape ini kerana ia sudah merebak dalam kalangan pelajar termasuk sekolah rendah,” katanya.

Aminuddin ditemui ketika menghadiri Majlis Penerangan Maqasid Syariah Peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hadir pada majlis itu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, alat berkenaan kini boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti pensil dan pemadam sekali gus boleh mempengaruhi pelajar.

Justeru, beliau berharap Kementerian Kesihatan dapat membuat keputusan terbaik dalam menangani isu berkenaan.

Harian Metro pada 8 Oktober lalu melaporkan Kementerian Kesihatan sedang mengkaji sama ada akan melaksanakan larangan sepenuhnya bagi vape atau rokok elektronik di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya sudah menubuhkan jawatankuasa khusus bagi mengkaji berkenaan vape dan juga rokok.

Sementara itu mengenai pelaksanaan dasar Maqasid Syariah di Negeri Sembilan, Aminuddin berkata, kerajaan negeri tiada halangan mengenai dasar berkenaan memandangkan ia juga sesuai untuk semua golongan.

Dalam pada itu Mujahid berkata, Maqasid Syariah bukan saja sesuai untuk penganut agama Islam malah ia juga boleh diterima orang bukan Islam.

Katanya, pelbagai aktiviti dan program sudah diatur untuk menyampaikan dasar berkenaan kepada rakyat pada tahun hadapan selepas kerajaan memperuntukkan sejumlah dana dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu khas untuk pelaksanaan Maqasid Syariah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:18 PM