ANTARA rumah penduduk terjejas akibat banjir kilat. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


HUJAN lebat lebih satu jam yang melanda daerah Kubang Pasu, hari ini menyebabkan banjir kilat berikutan paras sungai melimpah.

Difahamkan, hujan lebat bermula jam 2.30 petang tadi mengakibatkan banjir di Kampung Telok Nibong, Kampung Gelam, Taman Suria 5, Kampung Kamunting Lama dan Taman Kamunting.

Penduduk Kampung Gelam, Abu Hassan Yusof, 69, berkata, air mula memasuki rumahnya pada 3 petang menyebabkan dia tidak sempat mengangkat barang dalam rumah.

Katanya, ketika itu hanya dia dan isterinya, Lowani Chik, 65,berada dalam rumah dan hanya mampu mengangkat barang yang sempat dicapai.

“Air masuk terlalu deras hingga ke paras pinggang ketika hujan lebat.

“Habis semua tilam, permaidani dan tikar getah basah akibat ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun katanya, air mulai surut sejak 4 petang namun dia dan isterinya bimbang hujan lebat yang masih belum berhenti akan mengakibatkan banjir kilat sekali lagi.

“Kami dah bersiap sedia kalau banjir berlaku sekali lagi dan di paras bahaya, kami sedia berpindah,” katanya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian banjir di beberapa kawasan di daerah ini.

“Sekarang ini kami menerima banyak kes berkaitan pokok tumbang di daerah ini dan anggota kami berada di lokasi berkenaan sekarang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima maklumat dua kes berkaitan banjir kilat di Taman Kamunting dan Kilometer 15 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Changlun.

Beliau berkata, bagaimanapun air mulai surut namun anggotanya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Anggota kami turut menyertai operasi pokok tumbang di daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 7:31 PM