FOTO hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


KESENGSARAAN tiga beradik perempuan dijadikan tempat ‘pemuas nafsu’ berakhir apabila seorang lelaki warga Indonesia ditahan polis, Khamis lalu.

Lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai melakukan terkutuk itu terhadap mangsa berusia antara tujuh hingga 12 tahun sejak tahun lalu sebelum ditahan di kawasan ladang Kampung Berayung, Telupid, apabila mangsa berusia tujuh tahun mengadu pada ibu saudaranya.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10.24 malam 8 Oktober lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek adalah pekerja kebun keluarga mangsa sejak setahun lalu dan diberi tempat tinggal di rumah mangsa.

“Mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan suspek kerap mengganggunya mengadu kepada ibu saudaranya yang tinggal bersebelahan dengan rumah mereka.

“Sebaik mendapat tahu perbuatan suspek, ibu saudara mangsa bertanyakan kepada dua beradik mangsa lain dan mendapati mereka turut menerima gangguan seksual sama,” katanya dalam satu kenyataan media di Beluran, hari ini.

Kasim berkata, siasatan mendapati suspek mengambil kesempatan terhadap mangsa kerana mereka tinggal di rumah sama.

Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 17 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 7:38 PM