ANGGOTA APM cuba membantu mangsa kemalangan empat kenderaan di di Bulatan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Putrajaya, hari ini. FOTO ihsan APM
Hairulazim Mahmud


TINDAKAN pemandu wanita mengubah haluan secara mendadak dari lorong paling kanan ke lorong tengah dipercayai menjadi punca kemalangan empat kenderaan di Bulatan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Putrajaya, hari ini.

Dalam kemalangan 4.45 petang itu, sebaik sahaja memasuki lorong ketiga dari kanan, kereta Toyota Altis dipandu wanita itu melanggar bahagian belakang kereta Perodua Kancil.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, akibat hentaman itu Perodua Kancil terbabit hilang kawalan dan berlanggar dengan sebuah kenderaan sukan utiliti (SUV) Honda CRV.

“Akibatnya, Perodua Kancil itu berpusing dan memasuki lorong keluar Kompleks B lalu melanggar sebuah lagi kereta iaitu Perodua Alza yang sedang dalam perjalanan keluar.

“Kereta Toyota Altis terbabit kemudian terbabas dan melanggar tiang lampu di tengah susur masuk dan keluar Kompleks B tidak jauh dari Bangunan Perdana Putra,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bencana Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Putrajaya, Leftenan Mohamad Asnizam Tukimam berkata, pihaknya dengan kekuatan tiga anggota tiba di lokasi pada 5.05 petang.

“Kami hantar dua wanita ke Hospital Putrajaya dengan ambulans apabila seorang daripadanya cedera ringan manakala seorang lagi mengalami pening.

“Operasi ditamatkan di hospital pada 5.36 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 9:36 PM