Redzuan Muharam


NASIB malang menimpa penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Perak apabila motosikalnya ditenggelami air selepas kawasan parkir di pusat pengajiannya dilanda banjir kilat semalam.

Insiden itu mendapat perhatian warganet dengan rata-ratanya meluahkan rasa simpati kepadanya selepas video yang sempat dirakam tular di Twitter.

Berkongsi pengalamannya, penuntut itu yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad Afifi, 21, berkata, dia berada di kelas ketika kejadian dan hanya menyedarinya selepas dimaklumkan kakitangan universiti.

“Petang semalam, saya keluar sebentar dari kelas untuk ke tandas dan sempat menjenguk motosikal jenis skuter serta mengambil video dari dalam bangunan.

“Ketika itu, keadaan di luar hujan lebat tetapi kawasan parkir belum dinaiki air dan saya masuk semula ke kelas walaupun rasa tak sedap hati.

“Kira-kira 10 minit kemudian, salah seorang kakitangan universiti datang ke kelas memaklumkan ada kenderaan di parkir sudah ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tanpa berlengah, Muhammad Afifi terus bergegas turun untuk melihat motosikalnya.

Bagaimanapun, semuanya sudah terlewat kerana motosikalnya dan beberapa kenderaan lain di parkir tidak sempat dialihkan apabila ditenggelami air.

“Apa yang saya nampak ketika itu hanyalah cermin sisi manakala bahagian motosikal lain sudah ditenggelami air.

“Namun saya tidak menunggu lama sebaliknya meredah air bagi membawa keluar motosikal dari kawasan berkenaan kerana risau enjinnya rosak jika dibiarkan berada di situ.

“Saya menangis melihat keadaan motosikal dan bimbang dimarahi emak tetapi apa boleh buat kerana apa yang berlaku di luar kawalan,” katanya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, buat sementara waktu dia terpaksa menumpang rakannya untuk ke kampus.

“Motosikal itu belum dihantar ke bengkel untuk pemeriksaan kerana saya mahu membiarkan ia betul-betul kering terlebih dulu.

“Saya harap ia masih boleh digunakan lagi kerana rasa seperti patah kaki memandangkan hanya itu kenderaan untuk ke kelas.

“Lagipun motosikal itu adalah pemberian emak dan sayang rasanya jika ia rosak,” katanya.

Dalam pada itu Muhammad Afifi berkata, dia tidak tahu rakannya memuat naik video berkenaan sehingga dimaklumkan pengikut di Twitter.

“Video itu asalnya dimuat naik di ruang Insta Story, Instagram tetapi tular selepas dikongsikan rakan di Twitter miliknya.

“Pelbagai komen diterima dan ada juga mempersoalkan mengapa saya tidak mengalihkan motosikal lebih awal tetapi siapa sangka perkara ini terjadi kerana belum pernah berlaku kejadian sebegitu sebelum ini.

“Saya tak pasti apa puncanya tetapi ada kemungkinan disebabkan kerja pembinaan di kawasan berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 9:50 PM
Keadaan motosikal Muhammad Afifi sebelum kejadian (kiri) dan selepas dilanda banjir kilat. FOTO Ihsan Muhammad Afifi