FOTO Hiasan
Mohd Sabran Md Sani


MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menangguhkan perbicaraan membabitkan empat individu atas tuduhan bersubahat melakukan pelupusan buangan minyak di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, pada 3 hingga 5 Disember ini.

Keputusan penangguhan itu dibuat Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob selepas mendengar permohonan dikemukakan peguam bela mewakili semua tertuduh yang mempunyai kes perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada tarikh sama, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Hussin Othman yang hadir bagi mewakili peguam Rathskrishna, Maniam Nair dan Joshua Tay bagi mengemukakan permohonan berkenaan.

Mendengar hujahan terbabit, Wan Mohd Norisham membuat penangguhan selepas mengambil kira kes perbicaraan membabitkan semua peguam itu.

“Sebenarnya, susah untuk dapat tarikh bicara, tetapi bila dapat tarikh sesuai tetapi peguam tidak hadir pula.

“Tarikh ditetapkan lalu adalah tarikh sesuai untuk semua, OKS pun tidak hadir hari ini," katanya.

Berikutan itu beliau terpaksa melapangkan tarikh bicara ditetapkan hari ini dan esok, selain menetapkan bicara pada 3, 4 dan 5 Disember ini.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Putrajaya, Farra Nor Azura Jumuddin tidak membantah permohonan itu, meskipun dua saksi hadir hari ini.

Terdahulu, prosiding yang ditetapkan untuk perbicaraan hari ini bermula pada 9.15 pagi.

Mac lalu, kilang pemprosesan tayar terpakai, P Tech Resources Sdn Bhd dan dua lelaki termasuk seorang warga Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen atas 15 pertuduhan masing-masing membabitkan kesalahan gagal mematuhi pemantauan udara bersih dan buangan terjadual di Sungai Kim Kim.

Tertuduh, Wang Jing Chao, 34, warga Singapura, dan Yap Yoke Liang, 36, yang juga OKS masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Jing Chao dan Yoke Liang masing-masing sebagai pengarah kilang berkenaan didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan pembuangan terjadual, iaitu gagal membuat pemberitahuan mengenai buangan terjadual yang ditetapkan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Kedua-dua mereka juga didakwa atas lapan pertuduhan membabitkan udara bersih iaitu gagal menjalankan pemantauan berkala di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, akta yang sama.

Kilang terbabit turut didakwa atas 15 pertuduhan sama yang diwakili dua OKS berkenaan.

Pada 25 April lalu pengarah syarikat kilang memproses tayar terpakai warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas tuduhan bersubahat melakukan pelupusan buangan minyak di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Mac lalu.

Sim Wei Der, 50, didakwa bersubahat dengan tiga tertuduh yang didakwa sebelum ini iaitu pemandu lori, N Maridass, 35, serta dua pengarah bersama, Yoke Liang dan Jing Chao, yang juga warga Singapura melupuskan buangan minyak atau enap cemar berminyak ke dalam Sungai Kim Kim dibuat dengan menggunakan lori dan semi treler tangki minyak sawit tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 11:45 AM