Muhammad Apendy Issahak


SESI persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang, di Sungai Siput, hari ini, dibatalkan susulan kawasan sekolah terbabit dinaiki air akibat banjir.

Air mula naik kira-kira 5 pagi tadi di kawasan sekitar sekolah itu menyebabkan ramai murid serta guru terkandas.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Safuan Haji Rabaai berkata, banjir juga mengakibatkan pintu pagar sekolah tercabut susulan arus deras.

“Jumlah murid terjejas adalah seramai 67 orang, manakala guru seramai 11 orang dan seorang kakitangan sekolah serta dua pekerja swasta.

“Banjir bermula 5 pagi dan kawasan sekolah dinaiki air sedalam 1.5 meter. Arus air yang deras turut menyebabkan pintu pagar tercabut.

“Kerja-kerja pembersihan tidak dapat dilaksanakan lagi. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan penduduk kampung kini membantu keadaan mengawasi banjir,” katanya.

Menurutnya, sekolah lain tidak terbabit dengan banjir, cuma ada guru dan staf sokongan tidak boleh hadir untuk bertugas di sekolah berkenaan kerana ada jalan ditutup kerana dinaiki air.

“Selain SK Lintang, lima sekolah lain mungkin turut terganggu operasi pagi ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, SK Jalong, SK Lasah, SMK RLKT Lasah dan SK Temin.

“Sejumlah 35 guru dan staf sokongan melapor diri di SK Kampung Maamor disebabkan tidak dapat hadir bertugas di sekolah masing-masing disebabkan banjir,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali ketika dihubungi turut mengesahkan penutupan sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 12:25 PM
KEADAAN di SK Lintang yang ditutup akibat banjir. FOTO Ihsan PPD Kuala Kangsar