FOTO Hiasan
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


JABATAN Alam Sekitar (JAS) menyarankan pihak industri dan pemaju projek supaya mengimbangkan alam sekitar dengan mengitar semula bahan buangan berjadual.

Ketua Pengarahnya, Norlin Jaafar berkata, ketika ini hanya pihak industri yang banyak mengitar semula bahan buangan, manakala pemaju projek masih kurang berbuat demikian.

“Kita mahu galakkan barang buangan dari tapak projek dikitar semula daripada dihantar terus ke tapak pelupusan.

“Sebab itu penting untuk pihak terbabit terus mencari teknologi terkini bagaimana mengurang dan memanfaatkan semula bahan buangan.

“Sebagai contoh ada buangan berjadual itu dapat digunakan sebagai antara bahan untuk membuat simen dan ini sekali gus dapat menjimatkan kos,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Alam Sekitar 2019 di Bandar Sri Sendayan di Seremban, hari ini.

Turut hadir, pemangku Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab.

Norlin berkata, pemaju projek juga digalakkan mempunyai Pelan Kawalan Hakisan Tanah dan Kelodak sebagai langkah kawalan daripada menyebabkan hakisan dan kelodakan di tapak pembangunan.

Katanya, ini kerana hakisan dan kelodakan yang berlaku boleh menyebabkan pencemaran sungai kerana bahan buangan dari tapak projek masuk ke dalam sungai.

“Ini (Pelan Kawalan Hakisan Tanah dan Kelodak) bukan perkara susah dan kita sentiasa tekankan menerusi JAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk atasi masalah pencemaran ini.

“Setakat ini ada pemaju yang akur dan patuhi semua syarat, namun bagi pemaju yang belum mencapai tahap pematuhan yang dikehendaki, perlu tingkatkan lagi,” katanya.

Beliau berkata, faktor yang menyebabkan ada pemaju enggan patuh dengan arahan termasuk sikap kerana memikirkan ia bukan perkara penting.

Sementara itu, mengenai kebakaran di Pusat Kualiti Alam di Sendayan di sini baru-baru ini, beliau berkata, pihak bomba mengesahkan ia adalah kemalangan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan pemantauan akan dibuat secara berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 2:16 PM