Saifuddin Nasution (kiri) ketika membuat lawatan ke UMP Campus Pantry. FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

“HELLO, saya ada IC merah (pemastautin tetap), boleh saya mohon?”.

Itu soalan pertama yang diterima talian hotline Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan bantuan Program Subsidi Petrol (PSP) selepas semakan kelayakan boleh dibuat bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, talian hotline berkenaan dihujani panggilan orang ramai seawal 5 pagi sehingga menyebabkan ia menjadi sibuk.

Malah akuinya, portal milik kementerian itu juga ‘sesak’ berikutan

menerima jumlah pelayar luar biasa malah menjadi portal paling ‘top’ buat masa ini.

“Limpahan pertanyaan dan semakan yang diterima menyebabkan ‘server’ perlahan dan mungkin menimbulkan sedikit masalah kepada pelayar.

“Buat masa ini semakan kelayakan hanya untuk golongan B40 yang juga penerima BSH (Bantuan Sara Hidup), namun jika mereka tidak pernah menerima BSH atau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini, namun merasakan layak menerima PSP, kami akan bantu untuk mendaftarkan mereka dengan MOF (Kementerian Kewangan) kerana kami menggunakan data mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Wacana Bersama Menteri dan Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kuantan hari ini.

Pengumuman mengenai bantuan PSP itu dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2020 Jumaat lalu.

Saifuddin Nasution berkata, pihaknya mempunyai tempoh kira-kira dua bulan untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan dan melengkapkan mekanisme berhubung kelayakan penerima PSP bagi golongan pendapatan sederhana (M40) sebelum ia dilaksanakan tahun hadapan.

“Kami kena duduk dengan MOF untuk berbincang mengenai beberapa keperluan lain tetapi saya yakin pengalaman dalam menggerakkan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dapat membantu.

“Kita juga bekerjasama dalam melakukan semakan silang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengetahui jumlah kenderaan yang layak menerima subsidi ini. Apa yang penting adalah untuk mereka yang memenuhi syarat untuk mendaftar,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program Food Bank Siswa, Saifuddin Nasution berkata, program itu akan diperluaskan ke 123 universiti pada tahun hadapan termasuk institut pendidikan guru (IPG), politeknik dan institut pengajian tinggi swasta.

Katanya, sasaran 20 universiti awam melaksanakan Food Bank akan dicapai berikutan ketika ini 18 universiti sudah melaksanakannya manakala bakinya iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan melaksanakan dalam masa terdekat.

“Setakat ini, 6,500 penuntut universiti sudah menerima manfaat daripada program ini yang menyaksikan kolaborasi dengan lebih 10 syarikat penyumbang dari pelbagai latar belakang.

“Soal jaminan kelangsungan pelaksanaannya tidak timbul kerana peruntukan RM25 juta sudah diumumkan menerusi Belanjawan 2020 selain bantuan daripada pihak yang mahu terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 5:39 PM