SYAHRIL Haziq (kiri) menunjukkan keadaan jarinya kepada kakaknya, Syafiqah Amalina di HTAN, Kuala Pilah, hari ini. FOTO Amran Yahya.


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Syahril Haziq Cik Raman yang cedera dipatuk ular tedung pada 12 Oktober lalu kini berada dalam keadaan stabil.

Lawatan Harian Metro ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah mendapati anggota berusia 21 tajun itu kini ditempatkan di wad biasa dan keadaannya beransur pulih.

Syahril Haziq menzahirkan rasa syukur walaupun pada awalnya kecederaannya agak serius, namun selepas menjalani rawatan keadaan jarinya bertambah baik.

“Pada awal sejurus dipatuk ular, jari telunjuk tangan kiri terasa kebas dan seperti sudah ‘mati’, tetapi kini ia mampu digerakkan.

“Manakala keadaan bengkak pada jari sehingga ke pergelangan tangan sebelum ini sudah berkurangan.

“Walaupun kulit jari bertukar hitam, ia hanya di bahagian luar. Pihak perubatan HTAN memantau setiap masa malah perkembangan kesihatan akan dimaklumkan terus kepada saya serta keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kuala Pilah, Muhammad Aminudin Suhaimi ketika dihubungi memberitahu, anggotanya ditempatkan di wad bersama Syahril Haziq secara bergilir-gilir bermula 4 petang sehingga 8 pagi.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memantau keadaan Syahril Haziq selain tidak mahu membebankan keluarga untuk menjaganya pada waktu malam.

Dalam kejadian jam 3.34 petang itu, Syahril Haziq cedera dipatuk ular tedung ketika dia serta dua lagi rakannya menyertai operasi menangkap reptilia itu di Kampung Ibol, Terachi dekat Kuala Pilah.

Pada awalnya, salah seorang rakannya berjaya menjerut dan menyepit kepala ular berkenaan sebelum dimasukkan ke dalam karung beras.

Bagaimanapun, ketika mahu membuka penjerut, ular terbabit secara tiba-tiba keluar dan menggigit jari telunjuk tangan kiri mangsa yang ketika itu sedang memegang karung beras.

Mangsa diberikan bantuan rawatan awal sebelum dikejarkan ke HTAN untuk mendapat rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 6:00 PM