Hukuman mati terhadap Koong Swee Kwan yang didakwa membunuh Hussain Ahmad Najadi kekal.
BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap pemandu trak tunda Koong Swee Kwan kerana membunuh pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan P Ravinthran turut mengesahkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Koong kerana cuba membunuh isteri Najadi, Cheong Mei Kuen, 55.

Dalam keputusan sebulat suara untuk menolak rayuan Koong terhadap sabitan dan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu, Hakim Yaacob yang mengetuai panel hakim itu berkata, terdapat bukti yang terlalu banyak terhadap Koong.

“Kami dapati sabitan beliau terhadap dua pertuduhan ini adalah kukuh,” katanya.

Koong, 50, juga dikenali sebagai Sei Ngan Chai (Si Empat Mata) dijatuhi hukuman mati pada 27 Oktober 2017 kerana membunuh Najadi, 75, selepas perbicaraan semula kesnya.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara 18 tahun kerana cuba membunuh Cheong.

Koong didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon antara 1.30 tengah hari dan 2 petang pada 29 Julai 2013.

Pada 5 September 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Azman Husin menjatuhi hukuman mati ke atas Koong kerana membunuh Najadi dan hukuman penjara 18 tahun kerana cuba membunuh.

Bagaimanapun, pada 14 Disember 2016, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan dan memerintahkan supaya kes itu dibicarakan semula di hadapan hakim baharu.

Ini berikutan Mahkamah Persekutuan mendapati keputusan itu prejudis terhadap Koong kerana Mohd Azman juga mendengar rayuan pemandu teksi, Chew Siang Chee yang berdepan pertuduhan memiliki pistol dan peluru.

Chew dikatakan membawa Koong di dalam teksinya selepas insiden tembakan itu.

Chew disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan peluru hidup.

Bagaimanapun, dia dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2015.

Perbicaraan semula itu didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Ab Karim Ab Rahman, (kini Hakim Mahkamah Tinggi).

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Koong, sebelum itu berhujah pembelaan anak guamnya tidak dinilai dengan adil dan saksama oleh hakim perbicaraan seperti dikehendaki undang-undang.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Umar Saifuddin Jaafar yang dibantu DPP Tetralina Ahmed Fauzi, pula berhujah hakim Mahkamah Tinggi memberi pertimbangan sepenuhnya kepada keseluruhan kes pendakwaan dan pembelaan.

Sementara itu, Hakim Yaacob meminta pihak berkuasa penjara dan pendakwaan supaya mempermudahkan urusan Koong untuk membuat laporan polis terhadap seorang pegawai penjara yang didakwa (Koong) menderanya selepas Hisyam memaklumkan perkara itu kepada mahkamah.

Koong mempunyai satu lagi peringkat rayuan iaitu Mahkamah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 6:10 PM