NOR Aisah bersama anaknya, Muhammad Darwishy yang mengalami penyakit Sindrom Down dan masalah pendengaran sejak lahir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


SEORANG ibu tunggal terpaksa menjaga dua anaknya yang masing-masing menghidap penyakit sindrom down dan masalah jantung sendirian sejak enam tahun lalu.

Selepas diceraikan suaminya, Nor Aisah Abdullah, 41, terpaksa mengalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga menjaga keperluan Muhammad Darwishy Zickry Abdul Syukur, 6, dan Muhammad Danielle Zulhezriq, 11.

Zikcry mengalami masalah sindrom down sejak lahir manakala Zulhezriq menderita masalah injap bocor pada saluran jantung sejak berusia lima tahun dan perlu menjalani pembedahan.

Nor Asiah berkata, walaupun ditimpa dugaan, dia tetap cekal menyara keluarga dengan upah yang diperoleh membuat kuih.

“Sebelum ini, saya bekerja di beberapa syarikat dengan jawatan yang agak stabil namun terpaksa berhenti disebabkan anak kerap dimasukkan ke wad dan menjaga orang tua yang sakit (ketika menetap bersama ibu bapa).

“Saya kemudian menyewa rumah di Kota Bharu memandangkan terpaksa berulang alik hampir setiap hari untuk temujanji dan rawatan anak di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Berek 12, baru-baru ini.

Menurutnya, setiap kali Zickry dimasukkan ke wad, dia akan bergilir dengan Zulhezriq kerana terpaksa pulang ke rumah pada awal pagi untuk membuat kuih.

“Saya tidak menerima sebarang bantuan dan hanya mengharapkan hasil jualan kuih hanyalah sekitar RM10 hingga RM15 sehari. Kadang kala, kami terpaksa berlapar dan hanya mengalas perut dengan kuih yang tidak laku.

“Lebih malang bayaran rumah sewa yang sudah empat bulan tertunggak. Begitu juga dengan kereta Perodua Kelisa digunakan untuk berulang alik ke hospital sudah dua tahun tidak dibayar ansurannya,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu Nor Asiah boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam miliknya iaitu 14171020184609 atau menghubunginya di talian 017-266 2886.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 6:31 PM