Laporan portal Harian Metro semalam.
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Perikanan Johor sudah mengambil sampel siput sedut yang dibuang di Benteng Tanjung Labuh, Batu Pahat, kelmarin.

Pengarahnya, Zamani Omar berkata, proses pengambilan sampel itu dilakukan kakitangannya sebelum dihantar ke Makmal Biosekuriti Perikanan untuk mengetahui tahap keselamatannya.

“Ini kerana terdapat dakwaan dalam kalangan netizen mengatakan siput itu beracun sedangkan tidak dapat dipastikan.

“Bagi menjamin keselamatan, sampel siput sedut diambil untuk mengesan dan mengenal pasti sama ada ia beracun atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi di Johor Bahru hari ini.

Menurutnya, dia bersama kakitangan Pejabat Perikanan Daerah Batu Pahat yang bertugas di Unit Akuakultur pergi ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan.

“Hasil tinjauan penduduk setempat, siput itu dibuang oleh sekumpulan individu untuk upacara keagamaan mereka.

“Dakwaan siput itu beracun tidak dapat dipastikan secara terperinci tetapi beberapa penduduk setempat yang mengambil dan memakan siput berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda keracunan makanan,”

katanya.

Menurutnya, biasanya sampel diambil membabitkan kematian hidupan sama ada dugong, ikan, penyu, udang, sotong dan sebagainya.

“Kalau untuk menentukan keracunan, lebih sesuai ia dirujuk kepada pakar Kementerian Kesihatan,” katanya.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan ramai penduduk kawasan itu berpusu-pusu ke sekitar paya bakau berhampiran benteng Tanjung Labuh susulan kehadiran siput sedut dalam jumlah luar biasa.

Fenomena luar biasa itu menyebabkan kawasan berkenaan bertukar menjadi tapak ‘pesta’ bagi penduduk setempat yang membawa guni dan timba untuk mengutip siput berkenaan.

Bagaimanapun, fenomena luar biasa itu terjawab selepas Jabatan Perikanan memaklumkan siput itu dibuang ke kawasan berkenaan bagi tujuan keagamaan.

Berita berkaitan

Siput untuk upacara keagamaan lah...

'Pesta' siput sedut paya bakau

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 6:59 PM