ZURAIDA (kiri) bertemu penduduk yang mendakwa tidak tersenarai bagi mendapat tawaran Skim Perumahan Secara Sewa Beli PPR Kampung Permatang Tok Suboh, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.
Siti Sofia Md Nasir


MAJLIS Pelancaran dan Penyerahan Surat Tawaran Skim Perumahan Secara Sewa Beli bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Permatang Tok Suboh, Bukit Mertajam, bertukar kecoh apabila lebih 50 penduduk asal kampung itu berkumpul dan mendakwa ditipu kerajaan negeri.

Kekecohan berlaku apabila penduduk terbabit berkumpul di luar dewan dan melaungkan rasa tidak puas hati sebaik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang hadir sebagai tetamu kenamaan, selesai menyampaikan ucapan.

Zuraida kemudiannya meminta semua penduduk terbabit berkumpul di dalam dewan bagi bertemu dan menyelesaikan isu berbangkit.

Dalam pertemuan hampir setengah jam itu, penduduk mendakwa hak mereka untuk menerima kediaman di PPR Kampung Permatang Suboh diketepikan kerajaan negeri.

Wakil penduduk, Rosli Shukur, 43, berkata penduduk sudah menghantar permohonan kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) untuk memiliki rumah berkenaan sejak enam bulan lalu.

“Kami diminta hantar borang permohonan kepada PERDA. Tetapi apabila mengetahui ramai anak jati tidak dapat rumah PPR di sini, kami terkejut bagaimana perkara ini boleh terjadi.

“Itu menyebabkan kami berasa tidak puas hati kepada kerajaan negeri. Kami rasa ditipu dan dipinggirkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Zuraida yang ditemui selepas pertemuan itu berkata, masalah berpunca apabila penduduk tidak menerima maklumat lengkap berhubung permohonan untuk memiliki kediaman PPR berkenaan.

“Saya difahamkan, hari ini ada 42 nama hadir. Saya minta salinan borang permohonan mereka, tetapi mereka mengatakan sudah serah pada PERDA, sedangkan ia sepatutnya diberikan kepada Pejabat Perumahan Negeri.

“Tetapi tidak mengapa, kita bagi ruang kepada mereka untuk isi borang hari ini dan kita akan buat semakan. Jika ada yang tidak berjaya, kita akan letakkan mereka dalam senarai menunggu dan utamakan projek perumahan seterusnya,” katanya.

Hadir sama EXCO Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Terdahulu, Zuraida menyerahkan surat tawaran skim perumahan sewa beli PPR itu kepada 80 penerima.

PPR Kampung Tok Suboh yang mempunyai 231 unit itu dibina dengan keluasan 700 kaki persegi, selain turut dilengkapi dengan kemudahan taman rekreasi, surau, medan selera, dan dewan serbaguna.

Penduduk yang menerima skim sewa beli hanya perlu membayar RM205 sebulan selama 20 tahun, dengan nilai akhir adalah RM49,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 8:22 PM