YAN Ke bersama Asheeq keluar dari Balai Polis Petaling. FOTO NSTP
Khairul Najib Asarulah Khan


GRADUAN kontroversi yang melakukan protes ketika Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Kali Ke-59, kelmarin, mempertikaikan tindakan universiti tidak menyerahkan transkrip ijazahnya.

Wong Yan Ke, 23, berkata, dia ada datang ke UM tengah hari tadi dan menuntut transkrip ijazah itu, namun kecewa apabila dimaklumkan ia tidak dapat diberikan kepadanya.

“Kerani memaklumkan transkrip saya itu kotor dan perlu untuk dibaiki. Bila saya minta bukti, mereka kata tidak boleh.

“Apabila saya tanya adakah ini disebabkan tindakan protes saya tempoh hari, mereka tidak menjawab soalan itu,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas memberi keterangan di Balai Polis Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, peguamnya Asheeq Ali.

Mengenai protes dilakukannya ketika istiadat konvokesyen yang berlangsung kelmarin, Yan Ke mempertahankan tindakannya itu dan menganggap ia sebagai proses ‘mendemokrasikan’ universiti.

Yan Ke turut berpendapat, Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim gagal melaksanakan tugas dengan baik dan meminta beliau berundur daripada jawatannya.

“Dia (naib canselor) hanya sekadar boneka terhadap ahli politik hingga menjejaskan nama universiti.

“Itu hanya agenda politik beliau, jangan kata saya yang memalukan universiti,” katanya.

Yan Ke mengakui, ramai bertanya kepadanya mengapa tidak menggunakan platform lain, atau masa yang lebih sesuai untuk melakukan protes itu.

“Saya ingin bertanya adakah pihak universiti memberi saya satu platfom yang sesuai.

“Dulu saya seorang aktivis mahasiswa dan pernah protes isu kenaikan yuran, bas, perkhidmatan jalur lebar (WiFi) dan sebagainya.

“Saya hantar memorandum ke pejabat naib canselor, namun mereka langsung tidak pernah memberi jawapan balas dengan tuntutan itu,” katanya

Sementara itu, Asheeq berkata, anak guamnya hanya melakukan kritikan dan bukan kes jenayah.

“Saya difahamkan sebanyak 10 laporan polis sudah dibuat berhubung kes ini.

“Selama sejam keterangan diambil bermula 3 petang tadi yang mana mereka menyiasat kes ini mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu, Yan Ke yang juga graduan kejuruteraan awam UM bertindak mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan, ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik menerima skrol ijazahnya ketika berada di atas pentas pada sidang konvokesyen itu.

Graduan terbabit turut melaungkan perkataan itu sambil menjerit, “ini tanah Malaysia.”

Susulan itu, UM membuat laporan polis pada 12.33 tengah hari semalam.

Berita berkaitan

Polis siasat graduan biadab

Nak protes boleh tapi tempat lain

UM lapor polis isu graduan biadab

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 8:32 PM