IIP Aminullah (tiga dari kanan) bersama enam rakannya yang terbabit dalam pengembaraan Lintas Benua selama 17 bulan. FOTO Adnan Ibrahim.
Adnan Ibrahim


MENJELAJAH 30 negara membabitkan tiga benua dengan menaiki kereta antik model Mercedes Benz 280e.

Itu misi dilakukan tujuh peserta dari Banten, Indonesia berusia tujuh hingga 58 tahun sebelum menamatkan ekspedisi di Johor, semalam.

Difahamkan misi pengembaraan selama 17 bulan bermula Mei tahun lalu turut disertai sebuah kenderaan pacuan empat roda model Mercedes Benz w465 - G300.

Ketua misi, Iip Aminullah Ahmad Bukhaiti, 37, berkata, mereka memulakan penjelajahan dengan memasuki Singapura menuju ke Johor pada Mei tahun lalu sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand.

Menurutnya, mereka memulakan penjelajahan bermula dari Banten, Indonesia sebelum menjelajah Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turki, seluruh negara Eropah, Afrika dan Russia sebelum kembali ke Indonesia.

“Kami adalah ahli kelab Mercedes Benz Banten. Pengembaraan menggunakan kereta Mercedes Benz 280e serta pacuan empat roda w465 - G300 menyebabkan kami disambut baik peminat atau ahli kelab kenderaan model sama di negara dilawati.

“Bagaimanapun kami rasa amat selesa di Malaysia berbanding negara lain berikutan tiada syarat ketat dikenakan.

“Ia amat berbeza di negara lain apabila hampir semua pergerakan kami dikawal pihak berkuasa tempatan terutama sekali ketika melalui zon konflik,” katanya ketika ditemui di Simpang Renggam.

Mereka akan berlepas pulang melalui Singapura ke Batam yang menjadi negara persinggahan terakhir mereka.

Sebelum itu, kumpulan pengembara itu disambut dan diraikan kira-kira 120 ahli Kelab Klasik Legend, Southern Benzer dan Malaysia International Benzer.

Menurut Aminullah, rakyat Malaysia harus berbangga mempunyai negara aman damai walaupun penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan agama.

“Sejauh kira-kira 48,000 kilometer kami menjelajah, namun kesamaan budaya dan bahasa antara Malaysia serta Indonesia masih dianggap paling menarik.

“Semoga pertemuan ini menjadikan ikatan silaturahim antara dua negara bertambah erat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Klasik Legend, Shamsul Khan Ahmad Khan berkata, pihaknya amat berbangga kerana terpilih menyambut kepulangan kumpulan pengembara yang menjadikan Malaysia sebagai salah satu laluan ketika pergi dan pulang.

“Diharapkan apa kami lakukan ini dapat disampaikan kepada penduduk di Banten khasnya dan Indonesia supaya datang melihat keindahan budaya serta kehidupan masyarakat di Johor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 9:05 PM