ANGGOTA APM membantu membersihkan rumah penduduk yang dilanda banjir. FOTO ihsan APM
Safuri Kamarudin


SEMUA 43 penduduk di Kampung Seputih, Mukim Bakai, Baling dibenarkan pulang ke rumah petang ini selepas air kembali surut berikutan banjir, semalam.

Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, mangsa dibenarkan pulang selepas keadaan sudah pulih.

Beliau berkata, 16 keluarga itu ditempatkan di Surau Al-Huda di kampung itu sejak tengah malam tadi selepas rumah mereka dinaiki air sehingga paras satu meter.

“Kami menutup pusat pemindahan sementara (PPS) pada 3 petang kerana banjir melanda penempatan penduduk semakin pulih.

“Mereka dibenarkan pulang petang ini kerana keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Faizol berkata, semalam mangsa terpaksa dipindahkan kerana air Sungai Ulu Tawar melimpah dan memasuki rumah penduduk.

“Apapun sekiranya berlaku semula banjir, penduduk akan diarah berpindah ke tempat selamat.

“Jangan tunggu sehingga air naik baru hendak berpindah kerana kita bimbang mereka terperangkap,” katanya.

Beliau berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan penempatan penduduk terjejas dalam keadaan selamat.

Sementara itu, penduduk, Aminah Che Neek, 83, berkata, air mula naik pada 10 malam selepas hujan lebat berterusan.

“Ketika itu, saya baru nak tidur sebelum dikejutkan anak mengatakan air sudah melimpah masuk ke dalam rumah.

“Kami terpaksa berpindah kerana air semakin naik sehingga paras paha dan bimbang tidak dapat keluar rumah dengan keadaan cuaca gelap,” katanya.

Menurutnya, perabot dan peralatan elektrik tidak sempat dibawa ke tempat selamat kerana air masuk dengan cepat ditambah arus banjir sangat kuat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 9:23 PM