Fauzi (kanan) bersama Pengerusi GIACC Tan Sri Abu Kassim Mohamed. FOTO Ihsan Fauzi Ayob


BEKAS Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Fauzi Ayob kini menjawat tugas baru sebagai Penasihat Industri Kreatif di Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Fauzi berkata, jawatan barunya yang bermula semalam adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sekali gus beliau sudah berpindah ke Putrajaya.

“Semalam bermula tugas saya sebagai Penasihat Industri Kreatif Gred JUSA B.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan khususnya Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Pengarah GIACC JPM serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Ini kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menyumbang tenaga dan bakti bagi mengangkat integriti dan tadbir urus industri kreatif dalam membendung gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini,” katanya.

Fauzi berkata, beliau akan menjalankan amanah yang diberikan itu dengan jujur dan penuh bertanggungjawab dan itulah yang menjadi pegangannya selama ini.

“Jujur dan bertanggungjawab menggalas amanah adalah pegangan saya,” katanya.

Fauzi dilantik sebagai Ketua Pengarah FINAS pada 1 Januari 2017.

FINAS kini diterajui Pengarah Filem, Ahmad Idham Nadzri selaku Ketua Pegawai Operasi (CEO) dan Datuk Hans Issac selaku Pengerusi.

Fauzi mencatat sejarah menjadi satu-satunya individu menjadi Ketua Pengarah FINAS sebanyak dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 11:03 PM