Laporan portal Harian Metro sebelum ini.


“SAYA tidak bersetuju dengan gesaan untuk menarik balik ijazah pelajar itu. Kita boleh kritik dan kecam tindakannya itu tanpa merampas ijazah yang diusahakan selama lebih empat tahun,” kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam ciapan menerusi akaun Twitternya malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa UM (PMUM) yang melancarkan petisyen di media sosial bagi menuntut UM menarik balik ijazah pertama Wong Yan Ke, 23, kerana menunjukkan plakad ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ ketika Majlis Konvokesyen Universiti Malaya (UM) beberapa hari lalu.

Ahli Parlimen Muar menegaskan bahawa setiap orang bebas untuk bersuara dan perkara itulah yang perjuangkannya sejak dari dahulu lagi.

“Dulu, saya pernah disekat daripada menghadiri majlis konvokesyen kerana kelantangan saya menentang rasuah dan salah guna kuasa.

“Siapa yang tak nak hadir majlis konvokesyen sendiri selepas empat tahun berpenat lelah menuntut ilmu. Akhirnya, ‘majlis konvokesyen’ di ‘airport’ bersama mama dan abuyah.

“Bagaimanapun, dalam kita bebas bersuara, kita juga perlu belajar untuk menghormati keadaan atau situasi setempat.

“Jangan disebabkan kita, saat gembira dan bermakna orang lain tercalar. Majlis Konvokesyen adalah untuk kita meraikan kejayaan pelajar dan yang lebih penting untuk ibu bapa bangga melihat anak mereka menyarung jubah dan menerima segenggam ijazah.

“Mungkin bagi kita, segulung ijazah tidak penting tetapi bagi ibu dan bapa kita, itu sangat bermakna dan membahagiakan,” katanya.


SYED Saddiq. FOTO arkib NSTP

Menurutnya, beliau tidak nafikan hak pelajar untuk bersuara tetapi secara peribadi percaya ia (konvokesyen) bukan tempat yang terbaik untuk protes kerana pada hari itu bukan saja untuk diri sendiri tetapi kepada rakan lain dan keluarga mereka juga.

“Setiap orang bebas untuk bersuara dan itulah juga yang saya perjuangkan sejak dahulu lagi. Saya faham bagaimana rasanya suara kita disekat, dikenakan tindakan hanya kerana tidak setuju dengan pentadbiran universiti atau negara.

“Dalam meraikan pendapat semua pihak, kita harus bersedia untuk bersetuju dengan yang tidak bersetuju.

“Ruang kebebasan harus dipandu dengan sikap bertanggungjawab. Saya menghormati hak demokrasi setiap rakyat tetapi setiap tindakan harus datang bersama tanggungjawab.

“Kita raikan demokrasi yang matang dan tanggungjawab ini harus dipikul oleh pelajar dan universiti,” katanya.

Berita berkaitan

'Kerani cakap transkrip ijazah saya kotor'

Polis siasat graduan biadab

Nak protes boleh tapi tempat lain

UM lapor polis isu graduan biadab

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 1:35 AM