Mohd Zain (baju kuning) dilaporkan cedera dalam kejadian kemalangan bas di Afyonkarahisar, Turki bergambar bersama peserta rombongan lain sebelum kejadian. Foto Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi


“SAYA masih belum dapat apa-apa maklumat berkaitan keadaan ayah dan mak di Turki, saya berdoa mereka berdua selamat,” kata Muhamad Fiqri anak kepada pasangan Zurani Mohd Darum, 50, dan Roslina Wahab antara 35 rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan bas di Turki petang semalam.

Kemalangan ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodoky itu menyebabkan seorang maut, manakala 10 orang lagi cedera termasuk empat daripada mereka dikatakan mengalami kecederaan serius.

Muhamad Fiqri berkata, dia cuba menghubungi bapanya sebaik mengetahui mengenai kejadian itu tetapi gagal.

“Saya ada juga bertanya kepada rakan pejabat ayah yang turut berada di Turki berkaitan kejadian itu tetapi mereka juga masih belum mengetahui apa-apa kerana difahamkan mereka dibawa ke hospital berbeza.

“Kali terakhir saya berhubung dengan ayah pada 2 petang sebelum kejadian, selepas itu dan sehingga sekarang gagal menghubunginya,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, bapanya adalah kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), manakala ibunya pula hanyalah suri rumah.

Sementara itu, Shahirulliza Shamsul Ambia, 54, berkata, suaminya Mohd Zain Sarman, 54, ada membuat panggilan kepadanya pada 4.15 petang semalam tetapi dia tidak menyedarinya.

“Saya tidak perasan suami ada buat panggilan itu dan saya setakat ini masih belum dapat berhubung dengannya.

“Namun, saya difahamkan dia (suami) adalah seorang daripada mangsa yang cedera,” katanya.

Wisma Putra mengesahkan 35 rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan di Afyonkarahisar selepas bas dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik.

Mangsa yang cedera dilaporkan dirawat di Hospital Afyonkarahisar yang terletak kira-kira 300 kilometer daripada Ankara.

Berita berkaitan

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

1 maut, 10 cedera nahas bas di Turki

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 2:24 AM