LAPORAN portal berita Harian Metro
Khairul Najib Asarulah Khan


“SAYA masih menanti maklumat lanjut daripada PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) dan pihak berkuasa lain.

“Buat masa ini, saya tidak pasti bagaimana keadaan dan pengurusan jenazah abang,” kata adik kepada Azalan Miswan yang meninggal dunia selepas bas rombongan dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Afyonkarahisar, Turki.

Beliau yang enggan dikenali berkata, dia bersama keluarga juga meminta supaya diberikan ruang berhubung tragedi itu.

“Perkara ini mengejutkan kami sekeluarga, ditambah pula ibu sedang sakit.

“Buat masa ini, beri kami masa dan ruang terlebih dulu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Azalan antara 35 rakyat Malaysia yang menaiki bas malang itu ketika bas dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

Mangsa disahkan meninggal dunia 11.45 pagi waktu Turki di mana kejadian turut mengakibatkan 10 penumpang mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Afyonkarahisar.

Sementara itu, anak kepada Zurani Mohd Darum, Muhamad Fiqri yang terbabit dalam kemalangan berkata, bapanya masih ditahan di wad hospital berkenaan.

“Mak saya yang turut mengikuti rombongan tidak mengalami kecederaan dan berehat sementara di hotel.

“Saya dapat maklumat ini daripada ejen pelancongan jam 6 pagi tadi,” katanya.

Terdahulu PKNS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan kemalangan itu dan kematian seorang kakitangannya.

Bagaimanapun, pihaknya masih menunggu kenyataan rasmi daripada pihak kedutaan Malaysia di Turki berhubung tragedi itu dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Berita berkaitan

Identiti rakyat Malaysia maut di Turki dikenal pasti

[UPDATE] Saya doakan mereka selamat

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 11:39 AM