MAYAT lelaki dalam MPV ditemui pengawal keselamatan ketika melakukan rondaan.
Siraj Mohd Zaini


LELAKI ditemui mati dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Klang, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari, mangsa berusia 44 tahun ditemui terbaring di tempat duduk pemandu MPV jenis Naza Citra oleh pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di sekitar kilang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati tiada kesan jenayah pada tubuh mangsa.

“Pemeriksaan dalam kenderaan menemui satu bekas bakar mengandungi abu arang dan peralatan menghisap dadah yang sudah digunakan di kerusi penumpang belakang.

“Lelaki terbabit dipercayai sudah mati lebih 24 jam sebelum ditemui,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Sehingga kini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara polis menunggu laporan bedah siasat mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 12:17 PM