“KETIKA kejadian cuaca cerah dan tidak hujan, namun secara tiba-tiba angin kuat datang dan saya terdengar bunyi di bahagian bumbung sebelum mendapati atap rumah kami tercabut,” kata Hairy Afandey Samsuddin, 45, penduduk Taman Desa Rhu, Sikamat, Seremban.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari semalam, sebanyak 11 rumah penduduk di taman berkenaan rosak selepas bumbung kediaman mereka diterbangkan angin.

Hairy berkata, dia yang terkejut dengan kejadian itu terus membawa isteri dan anak lelakinya berusia dua tahun keluar dari rumah kerana khuatir berlaku perkara buruk.

“Ketika kejadian saya sedang memasak di dapur sebelum angin kuat datang sekali lalu dan menerbangkan bumbung rumah. Kejadian turut menyebabkan tangki rumah bocor dan air menitis ke dalam rumah.

“Bimbang jika siling roboh dan air menitis menyebabkan litar pintas, saya menyelamatkan isteri dan anak keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.


PENDUDUK membantu membersihkan bumbung rumah yang tercabut di Taman Desa Rhu, Sikamat, Seremban selepas mengalami kerosakan akibat ribut. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN

Peniaga makanan itu berkata, selang beberapa jam kemudian, hujan lebat melanda kawasan itu menyebabkan air masuk mencurah-curah ke dalam rumah dan bertakung sehingga mencecah buku lali.

“Beberapa barangan elektrik seperti televisyen dan kipas siling rosak manakala dokumen penting dan buku sekolah anak sempat diselamatkan.

“Kos membaik pulih bumbung dan struktur rosak mungkin mencecah RM5,000, namun pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) banyak memberikan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Azalina Jamaluddin, 53, berkata ketika kejadian dia berada di Melaka dan sebaik tiba di rumahnya kira-kira 2.30 petang, dia mendapati jiran sudah berkumpul di hadapan rumah masing-masing.

“Dianggarkan enam hingga tujuh bumbung rumah saya diterbangkan angin dan kini sedang dibaiki,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban dalam satu kenyataan berkata, kejadian tidak menyebabkan penduduk atau penghuni cedera.

“Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa kecuali satu keluarga menginap di inap desa malam tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 1:23 PM