Ruwaida Md Zain


KAKITANGAN Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azalan Miswan yang maut dalam kemalangan di Turki semalam disifatkan sebagai seorang yang menjaga solat dan sentiasa ambil peluang ke surau.

Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Tuntung Seksyen 20, Abdullah bin A Hamid, 57, berkata, pemergian arwah disifatkan kehilangan besar kepada kariah Surau An-Nur Seksyen 20.

“Arwah ‘kaki’ surau, lima kali sehari kalau tiada urusan lain pasti arwah berada di Surau An-Nur. Pagi tadi di surau terasa lain sangat, arwah tiada di surau.

“Kami kehilangan sahabat, ahli kariah, jiran yang baik. Kali terakhir kami berjumpa dengan arwah di surau pada Jumaat lalu, sehari sebelum arwah ke Turki.

“Selain itu, arwah ahli persatuan penduduk yang aktif, arwah kuat gotong-royong. Apa sahaja aktiviti surau, persatuan penduduk, arwah pasti menyumbang tenaga dan wang ringgit. Saya betul-betul terkejut dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di Shah Alam, hari ini.

Abdullah berkata, dia mengetahui arwah maut dalam kemalangan itu selepas solat Isyak di surau berkenaan semalam.

Sementara itu, jiran di kediaman arwah, Shafiee Salleh, 62, berkata, mereka sekeluarga kehilangan rakan dan jiran yang sangat baik.

“Arwah sangat baik dengan kami semua, suka bertukar juadah makanan, mereka suka masak Nasi Arab dan bagi pada kami.

“Saya amat terasa kehilangan arwah, tiada lagi jiran dan sahabat yang akan berlumba-lumba ke surau dengan saya. Dari mula-mula tinggal di sini 22 tahun lalu, sampai ke saat akhir arwah tidak pernah tinggal surau, itulah arwah yang saya kenali,” katanya.

Seorang lagi jirannya, Mohd Khairi Mahmud, 58 pula berkata, dia menyatakan perasaan sedih kerana tidak sempat bersalam dengan arwah ketika kali terakhir menemuinya pada Jumaat lalu.

“Biasanya lepas solat, arwah pasti akan hulurkan tangan untuk bersalam dengan saya walaupun dalam keadaan tergesa-gesa tetapi kali ini lepas solat, arwah terus bangun tanpa bersalam,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Empat rakyat Malaysia parah di Turki

[UPDATE] Waris masih tunggu maklumat susulan

Identiti rakyat Malaysia maut di Turki dikenal pasti

[UPDATE] Saya doakan mereka selamat

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 1:29 PM