Mohd Hafizee Mohd Arop


NELAYAN dipenjara 38 tahun dan dikenakan 23 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas mengaku bersalah atas 22 pertuduhan merogol, mencabul dan merakam gambar bogel anak perempuan tirinya yang berusia 15 tahun, sejak April 2016.

Tertuduh yang berusia 36 tahun itu membuat pengakuan terbabit sebaik pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Pada 11 Oktober lalu, tertuduh hanya mengaku bersalah terhadap enam daripada 22 pertuduhan dihadapinya sebelum menukar pengakuan bersalah bagi pertuduhan yang lain ketika prosiding keputusan yang ditetapkan hari ini.

Lelaki berkenaan didakwa atas 14 pertuduhan merogol, lima pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul, dua pertuduhan mencabul kehormatan ketika mangsa berusia 12 tahun dan satu pertuduhan merakam gambar bogel.

Semua perbuatan itu dilakukan di rumah di Sitiawan, Manjung antara April 2016 hingga 29 September lalu itu, dan dakwaan dibuat mengikut Seksyen 377C, 376B (1), 377CA, 354, 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) serta 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

Naidatul Athirah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh memandangkan kejadian itu menyebabkan trauma terhadap mangsa dan mempengaruhi mangsa secara emosi.

Bagaimanapun, Robert memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan masa mahkamah.

Julie Lack kemudian menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan selama 202 tahun dengan 23 sebatan bagi semua pertuduhan, namun memutuskan beberapa hukuman dijalankan serentak menjadikan hukuman yang perlu dijalani tertuduh adalah 38 tahun.

Tertuduh juga dikenakan 23 sebatan dan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.

Mengikut fakta kes, semua perbuatan dilakukan tertuduh itu terbongkar selepas ibu mangsa menemui kad memori SD yang mempunyai gambar mangsa dalam keadaan bogel sebelum laporan polis dibuat dan tertuduh ditahan pada 30 September lalu.

  • Bapa tiri durjana didakwa 22 pertuduhan seksual
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:16 PM
    NELAYAN dipenjara 38 tahun dan 23 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Ipoh selepas mengaku bersalah atas 22 pertuduhan merogol, mencabul dan merakam gambar bogel anak perempuan tirinya berusia 15 tahun, sejak April 2016. FOTO Abdullah Yusof