LAPORAN portal berita Harian Metro
Khairul Najib Asarulah Khan


“KAMI sekeluarga masih berbincang sama ada arwah akan dikebumikan di sini (Malaysia) atau Turki,” kata Miswan Sayuti, 70-an bapa kepada mangsa kemalangan di Turki, Azalan Miswan, 50.

Menurutnya, menantunya (isteri arwah) berhasrat ingin kebumikan arwah di negara terbabit, namun mereka sekeluarga masih belum memutuskan keputusan itu.

“Kalau ikutkan saya tidak kisah kebumi di mana-mana, pilih yang mudah.

“Namun ada yang inginkan pusaranya ada di sini kerana mudah pula untuk ziarah.

“Terpulanglah pada keputusan perbincangan nanti,” katanya ketika ditemui di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan, Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, adik mangsa, Azhar Miswan, 47, berkata, dia sekeluarga masih terkejut dengan tragedi itu.

“Arwah adalah anak sulung daripada tujuh beradik yang mana dia seorang yang prihatin.

“Abang (arwah) mempunyai tiga anak iaitu dua daripadanya lelaki dan mereka berusia 15, 23 dan 26 tahun.

“Kami sekeluarga masih bersedih dengan kejadian itu dan meminta ruang dan masa untuk kami sekeluarga bertenang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Mahfizul Rusydin Abd Rashid berkata, pihaknya masih menunggu keputusan keluarga arwah.

“Jika keluarga ingin membawa balik kita akan maklumkan kepada kedutaan untuk proses seterusnya.

“Semua kakitangan PKNS yang mengikuti rombongan itu mempunyai perlindungan insurans.

“Untuk maklumat, sehingga kini empat mangsa masih parah dan empat lagi mangsa yang cedera ringan masih menerima rawatan manakala dua lagi sudah dicaj,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seramai 35 rakyat Malaysia yang menaiki bas terbabit yang mana sebahagiannya terdiri daripada anggota PKNS.

Berita berkaitan

Azmin ucap takziah

'Tiada lagi kawan lumba ke surau'

[UPDATE] Waris masih tunggu maklumat susulan

Identiti rakyat Malaysia maut di Turki dikenal pasti

[UPDATE] Saya doakan mereka selamat

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:54 PM