GAMBAR hiasan
Fairuz Zaidan


MAYAT lelaki lengkap berpakaian ditemui di 0.5 batu nautika di kuala Sungai Seri Melaka, Melaka, tengah hari ini.

Mangsa belum diketahui identitinya itu dipercayai warga asing dan dianggarkan berusia 30-an.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mayat lelaki itu ditemui nelayan tempatan pada 12.07 tengah hari sebelum memaklumkan kepada bot Jabatan Laut yang kebetulan dalam perjalanan balik daripada tugasan di Pulau Undan.

“Penemuan mayat itu kemudian segera dimaklumkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM).

“Susulan itu, bagi mengelak mayat berkenaan hanyut atau kemungkinan tenggelam, ia dibawa PPM ke tebing Sungai Melaka berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Katanya, polis yakin lelaki berkenaan adalah warga asing susulan tiada kesan Bacillus Calmette-Guerin (BCG) ke atas mayatnya.

“Siasatan lanjut sedang diteruskan untuk mengenal pasti mangsa.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 9:21 PM