Banjir di Stesen KTM Sungai Gadut berikutan hujan lebih tiga jam di Senawang. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


PULUHAN kereta ditenggelami air akibat banjir kilat di sekitar Sungai Gadut, Seremban hari ini.

Hujan lebat sejak 3 petang turut mengakibatkan beberapa laluan di Sungai Gadut, Jalan Seremban-Tampin, Kawasan Perindustrian Ringan Senawang dan KTM Sungai Gadut dinaiki air sehingga paras hampir satu meter.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bomba menerima panggilan 6.24 petang.

Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Seremban serta Rantau dikejarkan ke lokasi bagi melakukan kerja menyelamat.

“Hujan lebat mengakibatkan laluan di sekitar Sungai Gadut dinaiki air menyebabkan kenderaan terkandas.

“Beberapa kereta yang diparkir di KTM Sungai Gadut dan Kawasan Perindustrian Ringan Senawang turut ditenggelami air.

“Bagaimanapun kenderaan yang terkandas boleh melalui kawasan berkenaan selepas air mula surut,” katanya ketika dihubungi.


Keadaan kereta yang ditenggelami banjir di Stesen KTM Sungai Gadut hari ini. FOTO Ihsan Pembaca

Beliau berkata, beberapa anggota masih ditempatkan di lokasi bagi melakukan pemantauan.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Ahmad Asri Khalbi ketika dihubungi berkata, banjir kilat menyebabkan puluhan kenderaan pengguna yang diletakkan di tempat letak kereta di Stesen KTM Sungai Gadut ditenggelami air.

“Bagaimanapun, perkhidmatan tren di laluan itu tidak terjejas dan masih beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, penumpang yang terjejas dan tidak dapat keluar dari kawasan stesen kerana banjir dinasihati menunggu sementara air surut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 9:25 PM