Adhif (tiga kiri) bersama Dekan Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UPM Prof Dr Zamberi Sekawi (dua kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Kerjaya CanMerdeka Dr Sri Ganesh (dua kiri) selepas majlis perasmian Canmerdeka di UPM Serdang hari ini. Foto Noor Atiqah Sulaiman
Noor Atiqah Sulaiman


PROGRAM Karnival Kerjaya CanMERDEKA berjaya membantu pihak majikan lebih memahami kehendak dan pekerjaan yang boleh diberikan kepada pesakit kanser.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Syan Abdullah berkata, pihaknya melihat program sedemikian perlu diteruskan untuk memberi peluang kepada pesakit kanser meneruskan kehidupan tanpa mengharapkan bantuan kerajaan.

Menurutnya, beliau akan membawa perkara berkenaan ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan datang supaya program seumpama itu dapat diperluaskan.

Katanya, CanMERDEKA disifatkan sebagai unik kerana sebelum ini karnival kerjaya hanya mengkhususkan kepada mereka yang sihat untuk diambil bekerja.

“Uniknya, program ini membuka peluang pekerjaan kepada pesakit kanser dan bagi saya program sebegini seharusnya diberi keutamaan.

“Secara logiknya, saya lihat program ini memberikan situasi menang-menang. Kita lihat sebelum ini majikan tidak yakin untuk mengambil pesakit atau golongan itu untuk bekerja kerana pelbagai isu akan timbul terutamanya berkaitan gaji dan komitmen mereka (pesakit) kepada pekerjaan.

“Melalui program ini, majikan sudah faham mengenai kehendak dan pekerjaan yang boleh diberikan kepada pesakit.

“Kebanyakan pesakit adalah daripada golongan yang tabah untuk bekerja dan berdiri atas kaki sendiri tanpa mengharapkan bantuan, namun mereka tidak diberi peluang,” katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya CanMERDEKA di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang hari ini.

Program Karnival Kerjaya CanMERDEKA julung kali dianjurkan oleh Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK) dengan kerjasama Persatuan Pencegahan Kanser (Cancerfly), Pusat Sumber & Pendidikan Kanser (Care, UPM) dan JobsMalaysia.

Terdahulu, program berkenaan berjaya menarik lebih 100 pesakit kanser untuk ditemuduga oleh lebih 20 majikan daripada pelbagai industri yang bakal menawarkan peluang pekerjaan pada karnival berkenaan.

Sebelum ini, kajian mendapati kira-kira 50 peratus daripada pesakit kanser mengalami masalah kewangan pada tahun pertama selepas dijangkiti penyakit berkenaan.

Antara punca masalah kewangan adalah kerana kehilangan sumber pendapatan, diberhentikan pekerjaan, serta kos perubatan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 9:53 PM