MOHD Zaid hadir di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Nor Azura Abdul Jalil


PERBICARAAN kes pecah amanah dan rasuah dihadapi bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini hangat apabila saksi meninggikan suara ketika sesi soal balas.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) Mohd Zaid Abdul Jalil yang juga saksi pendakwaan ke-15 meninggikan suara ketika disoal peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa.

Malah, reaksi Mohd Zaid, 48, itu menarik perhatian semua yang berada di galeri awam termasuk keluarga dan pihak media.

Beliau bersuara demikian ketika menjawab “tidak setuju” selepas Salehuddin mengasak dengan soalan berkaitan dokumen dan minit mesyuarat berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Antara soalan yang menjadi punca Mohd Zaid berang ialah ketika pihak pembelaan mendakwa beliau sengaja menyalahkan individu lain termasuk ahli lembaga pengarah FICSB dan setiausaha syarikat.

Terdahulu, Mohd Zaid memberitahu hanya beliau sahaja yang tidak bersetuju dengan cadangan pembelian bernilai RM160 juta itu, namun tidak menyuarakannya di dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FICSB ke-10 pada 29 April 2014.

“Mesyuarat mengambil suara majoriti bagi persetujuan pembelian hotel berkenaan, namun tidak semua perkara dicatatkan dalam minit oleh setiausaha syarikat FICSB,” katanya.

Ketika ditanya Salehuddin adakah persetujuan beliau mengenai pembelian hotel itu penting, Mohd Zaid menjawab “ya.”

Bagaimanapun Mohd Zaid tidak bersetuju dengan cadangan Salehuddin bahawa beliau terdesak menyalahkan individu lain bagi menutup kesalahannya kerana tidak menyuarakan bantahan dalam minit mesyuarat itu.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh FICSB.

Beliau didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan menerima rasuah pula didakwa di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 4:01 PM