Izlaily Nurul Ain Hussein


SEMUA pihak terbabit dalam penerbitan dan pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ akan dipanggil untuk siasatan lanjut, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, siasatan wajar dibuat selepas hasil laporan awal Bahagian Keselamatan kementerian mendapati kandungan komik itu mempunyai perkara tidak benar.

“Ikut laporan awal Bahagian Keselamatan KDN, ada perkara tidak betul dalam komik itu, sebab itu wajar tindakan tegas diambil ke atas mereka yang menerbit dan mengedarkan komik berkenaan.

“Kita akan panggil mereka (yang menulis) dan dapatkan keterangan lanjut. Kita pun tidak boleh ambil tindakan terburu-buru, jadi kita akan siasat.

“Kita tahu pengarangnya. Saya akan arahkan untuk memanggil dan dapatkan penjelasan serta penerangan daripadanya,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan bekerjasama untuk mendapatkan ulasan KDN mengenai aspek keselamatan membabitkan sensitiviti masyarakat dan hubungan luar negara selepas komik berkenaan diedarkan.

Terdahulu, KPM menegaskan tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran komik berkenaan.

Muhyiddin berkata, isi kandungan mana-mana bahan untuk edaran di institusi pendidikan perlu dipastikan tidak menyentuh batas politik atau membabitkan isu negara asing.

“Saya terima maklumat dan diberitahu KPM juga sudah meminta edaran komik itu ditarik balik. Masa (ketika) saya Menteri Pelajaran dulu, tiada bahan apa sekali pun boleh diedar ke sekolah, kecuali dengan kebenaran kementerian dan saya pasti tentunya komik ini pun tidak dapat kebenaran kementerian.

“Isi kandungan itu kalau pasal Upin Ipin, tidak mengapalah, tetapi jika ada cerita pasal batas politik, soal negara asing atau dikaitkan dengan kefahaman politik, itu tidak boleh,” katanya.

Berita berkaitan

KPM tak beri kebenaran edar komik

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 7:36 PM