Zulkifli (tengah) di program pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat AADK di Ibu Pejabat AADK Sungai Merab, Kajang. Foto Azhar Ramli
Muhaamad Hafis Nawawi


BERAT badan mengikut indeks jisim tubuh (BMI) yang sesuai antara kriteria perlu diambil kira untuk kenaikan pangkat pegawai di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bermula tahun depan.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, perkara itu bukan syarat wajib tetapi menjadi satu kelebihan bagi setiap pegawai yang dicalonkan untuk kenaikan pangkat.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan hasrat kerajaan mahu menjadikan penjawat awam yang sihat dan kekal aktif menerusi pembabitan dalam aktiviti sukan.

“Berat badan sesuai ini dianggap markah bonus kepada pegawai berkenaan berbanding calon lain. Seeloknya mereka perlu mencapai BMI bawah 30 iaitu tidak melebihi takrifan obesiti.

“Sebelum temuduga lagi mereka sudah ada markah bonus kerana usaha keras mereka menjadi kelebihan daripada calon lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat AADK di Dewan Sri Akasia Ibu Pejabat AADK di Sungai Merab di Kajang hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AADK Dr Sabri Zainuddin Zainul dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) ADDK Datuk Izhar Abu Talib.

Zulkifli berkata, ia adalah satu insentif kepada semua warga AADK yang bekerja keras mendapat berat badan sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 8:01 PM