NOR Azizah bersama anaknya ketika ditemui di Flat Bukit Gedung, Bayan Lepas. FOTO Mikail Ong
Hadzlihady Hassan


“BADAN saya menggigil dan mula sebak sebaik dihubungi anak sulung yang memberitahu kisah adiknya tular di Facebook (FB) kerana diabaikan keluarga,” kata Nor Azizah Khalid, 40, ketika ditemui di rumahnya di Flat Bukit Gedung, Bayan lepas, hari ini.

Menurutnya, ketika itu dia berada di sebuah kilang kerana menghantar kuih untuk dijual sebelum anak sulung perempuan yang berusia 17 tahun menghubungi menceritakan berhubung kes itu hingga membuatkan dia menitiskan air mata.

“Saya benar-benar terkilan dengan individu yang sanggup memuat naik gambar anak keempat berusia enam tahun dalam FB hingga ia tular dengan mendakwa dia diabaikan keluarga.

“Memang betul, anak saya itu agak nakal dan suka merayap, namun dia akan pulang ke rumah dan pada malam gambarnya dirakam, anak ada meminta wang untuk membeli burger di gerai berhampiran,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Menurutnya, apa yang membuatkan dia tidak berpuas hati kerana individu yang memuat naik gambar anak itu tidak datang sendiri berjumpa dengannya dan hanya sekadar mahu menjadikan cerita lebih sensasi dengan berkongsi dalam FB.

“Apa salahnya jika datang dan lihat sendiri keadaan kami sekeluarga dengan status saya sebagai ibu tunggal yang terpaksa menjaga empat anak.

“Anak saya itu memang agak nakal dan ada kalanya saya sendiri tidak sedar dia keluar kerana anak memang seorang yang aktif, selain itu dia juga tidak suka tinggal dalam rumah kerana kerap diganggu abang-abangnya,” katanya.

Nor Azizah berkata, akibat daripada kisah anaknya yang tular itu, dia kini menjadi lebih tertekan apatah lagi kini terpaksa bergantung ubat sakit mental yang diberikan doktor kerana masalah kesihatan dihidapi.

“Doktor yang merawat mengesahkan saya mengalami sakit mental dan tekanan sejak dua bulan lalu hingga mencapai tahap boleh membunuh diri.

“Tekanan ini berpunca kerana saya terlalu banyak berfikir untuk mencari wang bagi menyara anak dan kini ia ditambah pula dengan kisah anak yang tular kerana didakwa diabaikan,” katanya.

Menurutnya, sebagai ibu maruahnya amat tercalar kerana didakwa mengabaikan anak dan berikutan itu Nor Azizah akan membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebar fitnah itu.

“Saya sudah bercerai sejak setahun lalu dan kini menjaga empat anak masing-masing tiga lelaki dan seorang perempuan berusia dua hingga 14 tahun.

“Dua lagi anak perempuan saya iaitu yang sulung dan berusia tiga tahun dijaga bekas suami yang juga tinggal di tingkat bawah flat didiami kami,” katanya.

Sementara itu, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengunjungi rumah terbabit untuk melihat sendiri keadaan kanak-kanak itu yang tular dalam FB.

Selepas mengambil keterangan, wakil JKM turut memanggil bekas suami Nor Azizah dan memberi nasihat kepada mereka berdua supaya lebih peka dalam soal menjaga anak sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan kerana mengabaikan mereka.

JKM juga turut memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas sekiranya ada aduan daripada orang ramai atau penduduk sekiranya mereka diadapati mengabaikan anak-anak.

Kisah kanak-kanak perempuan itu tular di FB hari ini apabila dia didakwa berkeliaran sejak siang hingga lewat malam sekitar flat terbabit kerana dibiarkan ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 9:34 PM