Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI yang menyamun seorang remaja perempuan sedang berjoging di Taman Midah, Cheras pada Sabtu lalu berjaya ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan pada 11.30 malam kelmarin di sebuah kedai makan di Taman Dagang Permai, Ampang.

Menurutnya, berdasarkan siasatan lelaki itu disyaki menyamun ketika remaja berusia 15 tahun dengan menarik telefon bimbit yang digantung di leher mangsa.

Katanya, mangsa terjatuh dan luka di tapak tangan serta lutut, malah suspek turut memukul pelajar terbabit di kepala sebelum melarikan diri dengan motosikalnya.

“Polis turut merampas sebuah motosikal dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, peralatan lain yang dirampas adalah pemutar skru, dua telefon bimbit, topi keledar, baju, jaket, seluar dan selipar.

“Siasatan mendapati suspek pernah ditahan lima kali berkait kes samun pada 2016 di sekitar Kuala Lumpur dan satu kes dadah di Ampang tahun ini.

“Kita percaya dengan penahanan suspek itu dapat menyelesaikan sembilan kes samun di sekitar Cheras dan Wangsa Maju,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine dan AMP.

“Suspek direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 10:59 PM