Mohd Nukman (dua dari kanan) memperagakan model dron yang akan digunakan di Liga Dron Asia.
Firdaus Hashim


PEMINAT sukan dan teknologi dron buat julung kalinya disajikan Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri berlangsung hari ini dan esok bertempat di Kompleks Sukan EduCity, Nusajaya, Johor.

Program dianjurkan Iskandar Investment Berhad (IIB) menerusi kolaborasi antara Asia Drone League, Iskandar Innovations Sdn Bhd dan EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM25,000 membabitkan dua kategori tumpuan iaitu terbuka dan beginner serta terbuka kepada peserta antarabangsa dan tempatan tanpa mengira had umur.

Lebih menarik, hampir 50 pemain dron antarabangsa daripada lapan negara seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand dan India sudah mengesahkan penyertaan.

Festival dron ini turut membabitkan ekspo dan bengkel dron bagi mereka yang ingin mengetahui fungsi dan kegunaan dron dengan lebih dekat.

Ketua Bahagian Digital IIB, Mohd Nukman Abdul Rahman nyata optimis dengan potensi yang dimiliki sukan dron dan perkembangan Liga Dron Asia yang bakal menjadi satu kejohanan bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, kepentingan penganjuran festival berkenaan adalah untuk memperkembangkan lagi sukan dron di negara ini.

“Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri adalah festival dron pertama yang diadakan di negara ini yang akan membantu perkembangan sukan dron di negara kita. Walaupun sukan ini masih baharu, tetapi ia memiliki potensi yang besar dan banyak bakat dapat dicungkil melalui platform kami sediakan.

"Ia amat sesuai buat mereka yang masih baru dan ingin mencuba pamerkan bakat selain daripada keinginan kami mengangkat Liga Dron Asia setanding dengan Drone Racing League dan Asia Drone Championship," katanya.

Bagi Pengarah Urusan EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi pula, pihaknya selaku penyedia venue pertandingan dan festival dron berkenaan berharap kesemua peserta serta pengunjung selesa dengan kemudahan bertaraf dunia yang ada di Kompleks Sukan EduCity.

“Kami memberikan yang terbaik untuk penganjuran kali pertama Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri dan berharap pengunjung dapat hadir beramai-ramai memeriahkan festival ini.

“Lokasi yang menarik dan pelbagai aktiviti di Kompleks Sukan EduCity pastinya membolehkan festival dron ini berlangsung lebih menarik dan berprestij,” katanya.

Sementara itu, pengendali Liga Dron Asia, Alex Marzuki berharap semua rakyat Malaysia dapat memeriahkan festival berkenaan kerana pelbagai aktiviti menarik bakal dianjurkan.

Katanya, acara ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira usia kerana dron senang untuk dikendalikan malah program-program akan kami adakan sesuai untuk kanak-kanak yang baru mahu mengenali dron seperti “workshop” bagi memperkenalkan kepada kanak-kanak apa itu dron dan bagaimana kita boleh aplikasikan dron itu dalam kehidupan kita sendiri.

Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri juga turut mendapat sokongan daripada Iskandar Innovations Sdn Bhd, EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 12:27 AM