ANGGOTA bomba membersihkan tumpahan kimia daripada lori terbabas di laluan masuk Plaza Tol Ayer Keroh.
Nur Saliawati Salberi


LALUAN masuk ke Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka ditutup sementara selepas lori membawa bahan kimia terbalik, hari ini.

Dalam kejadian 11.25 pagi itu, lori berkenaan dikatakan menghala masuk ke plaza tol sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbalik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.28 pagi sebelum 20 anggota termasuk pegawai bersama pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bergegas ke lokasi.

“Ketika ini kerja membersihkan tumpahan bahan kimia muatan lori berkenaan sedang dijalankan dan ianya akan mengambil masa yang agak lama.

“Lima lorong tol yang menghala masuk ke Melaka ditutup bagi membolehkan kerja pembersihan bagaimanapun laluan keluar beroperasi seperti biasa,” katanya.

Mohd Hamdan berkata, kerja mengenal pasti bahan kimia sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 2:45 PM