PELAJAR SM St Michael menunjukkan pasu yang diperbuat daripada botol bekas bahan pencuci yang dihasilkan bagi mencatat rekod MBOR. FOTO Malai Rosmah Tuah
Norasikin Daineh


SEKOLAH Menengah (SM) Saint (St) Michael, hari ini, sekali lagi melakar sejarah apabila mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan menghasilkan 1,588 pasu yang diperbuat daripada botol bekas bahan pencuci.

Rekod itu dicatatkan dalam MBOR melalui kerjasama lebih 1,000 penyertaan terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan SM St Michael serta komuniti Kampung Terawi, Penampang.

Menurut Pengetua SM St Michael, Jennifer Asing, projek itu dimulakan sejak Jun lalu iaitu membabitkan kerja mengumpul botol bekas bahan pencuci sebelum dibentuk untuk dijadikan pasu.

“Kali ini kita berkolaborasi dengan komuniti Kampung Terawi dan hampir setiap malam kami bersama mereka melakukan kerja menggunting serta membentuk untuk dijadikan pasu.

“Kebanyakan botol ini dikumpul melalui hasil sumbangan komuniti dan pelajar sendiri dimana kami akan memberikan insentif melalui merit kepada setiap pelajar yang membawa tiga botol dan menghasilkan sendiri pasu terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian ‘The Most Number Of Multipurpose Pots Made From Detergent Bottles’ di sekolah berkenaan.

Katanya lagi, semua pasu itu digunakan untuk persediaan beberapa program yang dilaksanakan di sekolah itu termasuk Sekolah Lestari dan Sekolah Rakan Alam Sekitar selain diberikan kepada komuniti yang terbabit dalam projek ini.

“Pasu ini banyak kegunaannya selain boleh dijadikan pasu bunga, ia boleh digunakan untuk hiasan dan pasu gantung.

“Selebihnya kita akan jual kepada orang ramai dan hasilnya dijadikan sebagai dana untuk projek akan datang,” katanya.

Terdahulu, projek kali ini adalah tahun ke-10 sekolah berkenaan mencipta sejarah dalam MBOR.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Jenifer Lasimbang yang merasmikan program itu mahu program 3E (Education, Environment, Entrepreneurship) atau Pendidikan, Alam Sekitar dan Keusahawan diamalkan semua penduduk termasuk pelajar serta murid di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 3:38 PM