KENDERAAN yang melarikan diri selepas melanggar motosikal ditunggangi penghantar makanan (gambar kanan) sehingga mengalami kecederaan. FOTO IHSAN PEMBACA
Nur Lela Zulkipli


PEMANDU lelaki berusia 59 tahun memberi alasan bimbang dipukul ketika melarikan diri selepas rakaman video kemalangan langgar lari membabitkan penghantar makanan tular di media sosial, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, lelaki dikenali sebagai Kelsi Sikh didapati memandu laju dan tidak sempat mengelak mangsa yang berada di lorong kanan ketika di Persiaran Anggerik Vanila, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek yang memandu Honda Civic bertindak melarikan diri selepas melihat mangsa terbaring di jalan raya.

“Hasil siasatan mendapati, suspek memandu laju dan terlanggar belakang motosikal ditunggangi mangsa.

“Suspek turut mengakui tidak menghentikan kenderaannya kerana bimbang dipukul orang ramai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Suspek hadir ke balai polis untuk membuat laporan polis sebaik mengetahui kejadian itu tular di media sosial.

Katanya, kesan kemalangan itu, mangsa berusia 24 tahun yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah mengalami luka pada siku, jari dan kaki.

“Mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan selain pinggangnya turut terseliuh akibat terjatuh daripada motosikalnya.

“Mangsa mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sejurus kemalangan dan sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas keadaannya stabil,” katanya.

Katanya, mangsa akan hadir ke balai polis untuk membuat laporan polis, esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, rakaman video daripada kereta pengguna jalan raya tular di laman sosial Facebook dan mendapat kecaman netizen berikutan tindakan suspek tidak menghentikan kenderaan selepas melanggar mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 5:22 PM