FOTO hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


GARA-GARA takut mahu pulang ke rumah selepas ponteng sekolah untuk mandi sungai, seorang murid perempuan bertindak ‘menyembunyikan’ diri di rumah rakannya di Sungai Choh, Rawang, semalam.

Tindakan kanak-kanak berusia 12 tahun itu menghilangkan diri menyebabkan ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Serendah, malam tadi, berhubung kehilangannya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Azman Ab Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan ahli keluarga murid itu mengenai penemuan kanak-kanak terbabit jam 4.30 petang tadi.

“Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak ini didapati ponteng sekolah dan berada di rumah rakannya di Sungai Choh, semalam. Difahamkan dia mandi sungai bersama rakannya pada hari kejadian.

“Dia dikatakan lambat pulang selepas mandi sungai menyebabkannya takut untuk balik ke rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kehilangan mangsa dibuat ibu tiri kanak-kanak itu berusia 46 tahun jam 11.07 malam tadi.

“Berdasarkan laporan dibuat wanita terbabit, dia memaklumkan anak tirinya tiada di sekolahnya ketika mahu menjemput kanak-kanak itu pada jam 12.15 tengah hari.

“Menurut wanita itu juga, abang kanak-kanak terbabit mengaku menghantarnya ke sekolah pada pagi semalam dan melihat adiknya memasuki kawasan sekolah lalu beredar,” katanya.

Bagaimanapun katanya, semakan kehadiran dengan guru kelas mendapati murid itu tidak hadir ke sekolah.

Terdahulu, polis turut mengeluarkan hebahan Nur Alert mengenai kehilangan kanak-kanak itu yang kini tular di media sosial dan dikongsi warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 6:11 PM