ZAWIAH (kiri) bersama Maaroh melihat Anugerah Anumerta yang diterima selepas Majlis Istiadat Konvokesyen UMK. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias

DI saat ibu bapa lain gembira menyambut kejayaan anak masing-masing menamatkan pengajian, suami isteri ini pula terpaksa menguatkan hati menerima Anugerah Anumerta anaknya pada Istiadat Konvokesyen Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan waris penuntut Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Teknologi Kreatif, Mohd Faiz Maaroh yang meninggal dunia tanpa sempat menamatkan pengajian.

Zawiah Sulaiman, 48, berkata, apa yang memilukan adalah anak sulungnya itu menjadi anak pertama daripada tujuh beradik memasuki universiti.

Namun, sudah ditakdirkan meninggal dunia di usia 23 tahun dalam kemalangan jalan raya pada 25 Januari 2017, katanya.

“Pada mulanya saya dan suami tidak mahu datang sebab bagi kami sudah tiada apa lagi untuk kami raikan, apatah lagi terpaksa menanggung rasa sedih apabila melihat orang lain meraikan anak mereka dengan riang.

“Namun, oleh kerana prihatin kepada UMK, kami kuatkan hati untuk naik ke pentas mengambil anugerah anak berkenaan,” katanya ketika ditemui di Bachok, hari ini.

Mengimbau kejadian yang meragut nyawa anaknya, katanya, Allahyarham baru menamatkan latihan industri di Terengganu dan ingin ke UMK kampus Bachok bagi proses pertukaran latihan industri di Perak pula.

Namun, ketika dalam perjalanan ke UMK Bachok, motosikal yang ingin memotong terlanggar motosikal yang ditunggang anaknya menyebabkan arwah terbabas dan meninggal dunia di tempat kejadian di Jalan Kampung Perol, Peringat.

“Itulah kali terakhir saya jumpa dia. Dia anak yang banyak bercakap, dan apapun, saya tetap bangga dengan kejayaannya hari ini,” katanya yang tinggal di Kampung Banggol Stol, Pasir Mas.

Sementara itu suaminya, Maaroh Ramli, 52, pula tidak dapat menahan sebak ketika ditanya wartawan dan hanya mengucapkan: “Nak buat gano, dah sampai masa dia” dan “tak tahu nak cakap apa” sambil air mata hampir menitis.

Dalam majlis hari ini, Zawiah seorang daripada dua waris penuntut yang meninggal dunia menerima Anugerah Anumerta anak masing-masing sempena konvokesyen UMK.

Wakil kepada keluarga Allahyarham Farah Hani Mohd Salleh iaitu penuntut Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Pelancongan tidak hadirkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 6:21 PM