Gambar hiasan
Ruwaida Md Zain


MASALAH sampah yang dibuang ke parit dan sungai dikesan menjadi antara punca banjir di Taman Seri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam pada malam Khamis lalu.

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah meninjau kawasan berkenaan dan penyelesaian untuk masalah itu perlu dicari segera berikutan kawasan berkenaan sudah lama tidak dilanda banjir.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, hujan lebat luar biasa pada Khamis lalu juga didapati melepasi pam di kawasan itu.

“Ini satu keadaan yang agak luar biasa, lebih 20 tahun kawasan itu tidak pernah banjir. Jadi, kena fikirkan penyelesaian segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pasar Bunga Shah Alam 2019 dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing anjuran MBSA di Tasik Shah Alam hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim.


Khalid bersama Haris (dua dari kiri) bersama pemenang utama Pertandingan Memancing anjuran MBSA di Taman Tasik Shah Alam hari ini. Foto Ihsan MBSA

Sementara itu, Haris mengesahkan MBSA sudah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor berhubung isu itu.

“MBSA sudah jumpa dengan pihak JPS mengenai perkara itu dan tindakan menyelenggara akan dilaksanakan oleh jabatan terbabit.

“Mungkin banjir sudah lama tak berlaku, perkara ini akan ditangani JPS, boleh rujuk kepada mereka,” katanya.

Khamis lalu, kawasan Taman Seri Muda dinaiki air susulan hujan lebat dan tidak surut sehingga pagi semalam selepas Stesen Pam Seri Muda dipercayai dipenuhi sampah yang dihanyutkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 6:52 PM