Siti A’isyah Sukaimi


SATU agensi pemasaran akan ditubuhkan untuk menasihat, menunjuk ajar dan berusaha menolong pemasaran produk yang dihasilkan oleh usahawan luar bandar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu bagi memperluaskan pasaran produk keluaran usahawan luar bandar dan beberapa strategi perlu dilaksanakan untuk menguasai pasaran domestik dan menembusi pasaran global.

“Kerajaan melihat bidang keusahawanan terbukti berkesan untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat luar bandar, seterusnya dapat meningkatkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerja.

“Ini pasti pada akhirnya dapat menyumbang kepada usaha merapatkan jurang pendapatan isi rumah antara luar bandar dengan bandar,” katanya berucap pada perasmian Karnival Usahawan Desa Putrajaya 2019 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berucap menerusi rakaman video yang ditayangkan pada majlis perasmian karnival berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, antara usaha lain boleh dilakukan adalah membentuk perkongsian pintar antara komuniti usahawan luar bandar dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk swasta bagi meningkatkan jaringan dan rantaian pemasaran pembekalan dan pengeksportan.

“Usahawan luar bandar juga perlu meningkatkan daya saing perniagaan masing-masing melalui penggunaan mesin dan teknologi.

“Penggunaan mesin dalam penghasilan produk mampu meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos serta memastikan konsistensi kualiti produk,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera.

“Selain itu, RM100 juta turut diperuntukkan untuk pinjaman oleh usahawan kecil dan ini satu peluang wajar direbut oleh usahawan muda terutamanya di luar bandar.

“Dana berjumlah RM52 juta juga disediakan untuk pelaksanaan pelbagai program keusahawanan dan latihan industri tani supaya dapat menarik pembabitan golongan muda menceburkan diri dalam bidang agromakanan,” katanya.

Karnival Usahawan Desa Putrajaya 2019 diadakan lima hari bermula 17 hingga 21 Oktober di perkarangan Istana Kehakiman Presint 3, Putrajaya.

Dua juta pengunjung disasarkan sepanjang lima hari karnival berkenaan dengan jumlah keseluruhan jualan RM40 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 10:18 PM
DR Mahathir Mohamad melihat produk dalam talian yang dijual melalui [email protected] ketika melawat gerai pameran Karnival Usahawan Desa di Putrajaya. Turut kelihatan Rina bersama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa dan Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ELokal, Ahmad Shah Wahid (kiri). FOTO Mohd Fadli Hamzah