ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di Changkat Jong, Teluk Intan. FOTO ihsan APM
BERNAMA

SEJUMLAH 272 mangsa banjir membabitkan 80 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah di Perak, iaitu Hilir Perak dan Batang Padang, hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata jumlah itu menunjukkan pengurangan kawasan banjir setakat 6 petang berbanding tiga daerah, tengah hari tadi.

"Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka bagi mangsa banjir bagi Larut Matang dan Selama yang menempatkan 17 penduduk daripada enam keluarga telah ditutup," katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata daerah Hilir Perak mencatatkan peningkatan jumlah mangsa iaitu 191 orang daripada 53 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan berbanding 180 orang daripada 48 keluarga, tengah hari tadi.

Ia melibatkan mangsa dari Kampung Batu 9, Kampung Batu 7, Lorong Mesra Batu 7 1/2, Lorong Sidang Osman dan Batu 8.

Katanya jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Klah Baru di daerah Batang Padang masih kekal seramai 81 penduduk membabitkan 27 keluarga dari Kampung Sungai Klah Baru, Sungkai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 10:34 PM