Ahli keluarga Allahyarham Azalan di pusara selepas selesai pengebumian kakitangan PKNS itu di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam malam tadi. Foto Saddam Yusoff
Ruwaida Md Zain


URUSAN membawa pulang jenazah kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Allahyarham Azalan Miswan yang maut dalam kemalangan di Turki, Rabu lalu lancar selepas mendapat kerjasama kerajaan negara itu.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah memuji usaha kerajaan Turki yang banyak membantu dari awal insiden terbabit berlaku sehingga jenazah diterbangkan pulang ke Malaysia.

“Saya fikir urusan itu dapat dibuat dengan cepat kerana pihak kerajaan Turki dan hospital di sana memberi kerjasama yang baik dan sepenuhnya. Tiada masalah.

“Kedutaan kita membantu urusannya, pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga bersungguh-sungguh daripada pegawai, ejen dan pihak insurans mereka yang banyak membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Surau An-Nur di Seksyen 20, Shah Alam sebelum jenazah Allahyarham Azalan dikebumikan malam tadi.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat PKNS Mahfizul Rusydin Abd Rashid berkata, seramai 26 rakyat Malaysia yang selesai menerima rawatan dan dibenarkan keluar hospital akan dibawa pulang ke tanah air.

Menurutnya, kesemua mereka itu dijangka bertolak dari Istanbul esok dan dijangka tiba di KLIA lusa.

“Enam orang lagi masih dirawat di hospital sekitar Afyonkarahisar dan kita sedang berurusan dengan pihak hospital di sana dan Kedutaan Malaysia di Turki mengenai keadaan terkini mereka,” katanya.

Azalan yang juga kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu selesai dikebumikan pada 9.30 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Dalam kejadian 11.35 pagi waktu tempatan Rabu lalu, Azalan maut selepas bas yang dinaiki bersama 34 rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya.

Berita berkaitan

'Wisma Putra banyak bantu'

Allahyarham Azalan selamat dikebumikan

Jenazah Azalan akan dibawa pulang

'Bas terhuyung-hayang sebelum terbabas dan terbalik'

Identiti rakyat Malaysia maut di Turki dikenal pasti [METROTV]

[UPDATE] Empat rakyat Malaysia parah di Turki

[UPDATE] 'Saya doakan mereka selamat'

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

1 maut, 10 cedera, nahas bas di Turki

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 11:44 PM