Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


SEMBILAN anggota polis ditahan dalam operasi di pusat hiburan di Jalan Peel dan Jalan Metro, Pudu di Kuala Lumpur semalam.

Operasi itu dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bermula 10.30 malam hingga 5.30 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sembilan anggota polis berusia 23 hingga 53 tahun itu berada di pusat hiburan terbabit.

"Bagaimanapun, ujian air kencing ke atas anggota terbabit mendapati mereka negatif dadah.

"JIPS akan jalankan siasatan lanjut dan tindakan tatatertib bakal diambil terhadap mereka kerana melanggar arahan berhubung larangan mengunjungi tempat tempat hiburan," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sudah mengeluarkan arahan larangan kepada semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengunjungi tempat tempat hiburan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 1:21 AM