HAFIFI meninjau hakisan pantai di Pantai Pengkalan Maras. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

PANTAI Pengkalan Maras, Kuala Nerus, dikategorikan antara pantai tercantik dan terpanjang di negeri ini, namun kini berdepan masalah hakisan yang berlaku saban tahun.

Pantai yang dahulunya terkenal kerana mempunyai pasir putih malah sebagai tempat penganjuran pesta pantai kini kian musnah.

Tinjauan Metro Ahad ke pantai itu mendapati lebih 200 meter kawasan pantai musnah akibat hakisan sejak 2016.

Penduduk, Anuar Mokhtar, 43, dari Kampung Alur Damat berkata, dia sedih melihat kemusnahan pada pantai berkenaan.

“Dua puluh tahun lalu pantai ini menjadi kebanggaan penduduk setempat kerana keindahannya.

“Ramai pelancong terpesona dengan keindahan semula jadinya.

“Kecantikan di pantai itu dengan airnya yang tenang menyebabkan suasananya tidak ubah seperti berada di pulau,” katanya.

Tambahnya, kawasan pantainya luas sehingga pelbagai aktiviti termasuk perkelahan, sukaneka dan bola sepak pantai sesuai dijalankan di situ.

“Pantai yang terlebih dulu musnah seperti Pantai Tok Jembal, Pantai Tanjung Gelam dan Pantai Mengabang Telipot sudah ditambak.

“Kesan hakisan itu berlarutan pula ke pantai kami menyebabkan bermula akhir Jun, kawasan pantai itu terhakis setiap kali air pasang besar,” katanya.

Menurutnya, sebagai penduduk dia berharap pihak bertanggungjawab segera membina tambak batu di sepanjang pantai itu sebelum lebih banyak kawasan pantai terhakis.

“Tidak dinafikan kos pembinaan tambak itu besar namun ia perlu bagi menyelamatkan Pantai Pengkalan Maras daripada terus musnah,” katanya.

Sementara itu, Hafifi Azmi, 33, dari Kampung Maras pula berkata, dia masih ingat kenangan bermain di pantai itu ketika berusia 10 tahun.

“Ketika itu saya berasa letih berjalan untuk sampai ke gigi air di pantai dari jalan utama.

“Pantai Pengkalan Maras ketika itu jauh dari jalan tetapi sekarang jalan itu sudah terhakis dipukul ombak.

“Banyak pokok rhu yang dahulunya menjadi tempat berteduh ketika berkelah kini tumbang kerana hakisan,” katanya.

Hafifi berkata, dia sangat sedih melihat keadaan pantai yang dahulunya terkenal sebagai destinasi perkelahan yang terpelihara kini terbiar musnah kerana hakisan.

“Selain keindahan pantai itu terjejas, penduduk juga dibelenggu kebimbangan sekiranya hakisan berlarutan hingga ke penempatan mereka.

“Tidak jauh dari hakisan itu ada beberapa kedai dan tempat riadah, sekiranya tiada tindakan diambil dijangka hakisan itu sampai ke kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab perlu membina tambak batu atau pemecah ombak supaya masalah itu dapat diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:21 AM