Abdul Rahemang Taiming

SEGELINTIR pengusaha pelancongan di daerah ini dikesan menggunakan khidmat pemandu penyelam tidak bertauliah mengendalikan aktiviti skuba yang dilihat mengabaikan aspek keselamatan serta membahayakan nyawa pelancong.

Menerusi rakaman video tular baru-baru ini, seorang pemandu penyelam dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika membawa dua pelancong asing menyelam di perairan Pulau Timba-Timba, Semporna.

Lebih membahayakan, pemandu penyelam itu tidak membawa tangki oksigen sendiri sebaliknya berkongsi alat berkenaan dengan pelancong terbabit.

Timbalan Presiden Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA), Dahlan Mazin, ketika dihubungi berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku.


ANTARA aksi yang sempat dirakam menunjukkan pemandu penyelam tidak bertauliah tidak mematuhi prosedur keselamatan. FOTO Ihsan SPDA

Beliau bersetuju tindakan pemandu penyelam berkenaan mengabaikan aspek keselamatan, sekali gus boleh mengancam nyawa pelancong dan dirinya sendiri.

Katanya, kes yang tular itu bukan perkara baharu sebaliknya dikesan sejak awal 2017 lagi.

“Kami menjalankan siasatan dan mendapati bayaran penyelam tidak bertauliah ini hanya sekitar RM15 hingga RM20.

“Kalau guna khidmat pemandu penyelam bertauliah bayarannya RM90 sehingga RM200, bergantung pada aktiviti atau pakej ditawarkan.

“Kerana mahu kaut untung berlipat kali ganda, ada dalam kalangan pengusaha pelancongan menggunakan khidmat pemandu penyelam tidak bertauliah,” katanya.


DAHLAN (tengah) menunjukkan laporan polis berhubung video dan aktiviti penyelam tidak berlesen di sekitar perairan daerah Semporna di IPD Semporna. FOTO Ihsan SPDA

Menurutnya, persatuan penyelam profesional di Semporna sebelum ini pernah mengadakan pertemuan dengan pengusaha pelancongan sekitar daerah ini bagi membincang isu terbabit namun perkara sama masih berulang.

“Perkara yang menjadi kebimbangan kami jika berlaku kemalangan menyebabkan kematian. Sudah pasti insiden seperti ini akan memberi kesan buruk kepada sektor pelancongan di Semporna yang menjadi tumpuan penyelam dari seluruh dunia.

“Justeru, kami amat berharap Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas dalam menangani masalah penyelam haram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:40 AM