ANTARA GRO yang ditahan di premis terbabit. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


MENGHIBUR sambil menyediakan pakej seks kepada pelanggan. Itu dilakukan sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, di Kuala Lumpur, yang lengkap dengan beberapa bilik untuk kegiatan persundalan.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad bersama 49 pegawai dan anggota menyerbu tiga premis hiburan, serentak, malam tadi.

Akibat hujan, penjaga kawasan di premis terbabit tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa yang menyelinap masuk ke premis itu.

Serbuan bermula 12.30 malam itu hasil risikan dan maklumat orang awam sebelum menahan 64 pelayan pelanggan (GRO) warga asing termasuk dua pondan yang sedang leka melayan pelanggan yang berkunjung ke premis terbabit.

Menurut sumber, dalam serbuan itu, polis turut menemui kondom di atas tilam di beberapa buah bilik di salah satu pusat hiburan terbabit.

“Premis terbabit dipercayai bukan sahaja menyediakan GRO malah turut menjalankan kegiatan persundalan kepada pelanggan yang inginkan khidmat terbabit.

“Mereka yang ditahan terdiri 60 wanita warga Vietnam dan masing-masing seorang warga Indonesia serta Thailand manakala dua lagi adalah pondan warga Thailand,” katanya.

Sumber berkata, seramai 11 pekerja termasuk enam daripadanya warga asing turut ditahan.

“Rata-rata mereka dipercayai memasuki negara sebagai pelancong dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Turut diperiksa, 211 pelanggan bagi mengesan sebarang elemen kongsi gelap. Malah, premis terbabit turut gagal menunjukkan lesen perniagaan yang sah,” katanya.

Katanya, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan lanjut dan urusan dokumentasi sebelum diserahkan ke jabatan imigresen.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 8:23 AM