MOHAMAD Afif Ilyas Mohd Khaidir, 7, (tengah) bersama ibunya Rosidah Kamisan, 36. FOTO Ihsan Keluarga
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KETIKA kanak-kanak seusianya sibuk ke sekolah dan lincah bermain, namun bagi seorang budak lelaki di Temerloh, semua perkara itu tidak dapat dilakukannya apabila kaki kirinya terpaksa dipotong akibat kanser tulang.

Segalanya bermula apabila Mohamad Afif Ilyas Mohd Khaidir, 7, secara tidak sengaja terkena sepakan rakan di kaki kirinya ketika bermain lebih setahun lalu yang membawa detik hitam dalam hidupnya.

Ibunya, Rosidah Kamisan, 36, berkata, dia tidak menyangka tragedi itu menyebabkan anaknya kemudian disahkan menghidap disahkan mengidap kanser tulang atau osteosarcoma.

“Dari kecil dia sememangnya lincah seperti kanak-kanak lain sehinggalah ketika berusia enam tahun dia mengalami sakit berlarutan di bahagian kaki kiri selepas terkena sepakan rakannya.

“Susulan itu, pembedahan dijalankan pada Mac lalu menyebabkannya kini hanya mampu bermain dan berjalan dengan melompat-lompat dan tidak dapat meneruskan persekolahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lebih menyedihkan, anak ketiga daripada lima beradik itu terpaksa menjalani kehidupan seharian tanpa kaki palsu dan perlu dibantu dalam melakukan beberapa perkara.

Rosidah berkata, dia yang tinggal di Taman Setia Jasa di Temerloh, masih membawa anak lelakinya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sedang berusaha mendapatkan kaki palsu untuknya.

Dalam masa sama katanya, anaknya juga menjalani rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, selain perlu meminum susu khas

“Pada masa ini saya hanya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan zakat sebanyak RM1,000 diterima hanya sekali sebelum ini,” katanya.

Keadaan Rosidah dan keluarganya diumpamakan bagai jatuh ditimpa tangga apabila suaminya yang berjawatan pembantu perubatan di HOSHAS hanya diberikan gaji hari pada masa ini disebabkan banyak mengambil cuti bagi menguruskan anaknya.

Katanya, kekurangan pendapatan suaminya itu menyebabkan mereka sekeluarga terbeban dalam menyara tiga orang anak yang masih bersekolah dan menanggung rawatan susulan anaknya itu.

“Pada mulanya suami dipotong gaji, kemudian tidak dibayar gaji, sebelum diberikan gaji hari pula pada masa ini kerana suami terpaksa bercuti untuk menguruskan anak yang sakit, saya pelik dengan tindakan ini kerana suami pun sudah menunjukkan surat pakar kepada pihak majikannya.

“Jadi, dengan mengharapkan gaji hari yang diberikan sememangnya perit apatah lagi untuk berulang ke HKL yang memakan belanja kira-kira RM300 selain susu khas yang perlu dibeli,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Rosidah di talian 019-9485141 atau menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Rosidah Binti Kamisan 06028024880440.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 9:17 AM