DATUK Omar Mammah. FOTO Arkib NSTP
Hazsyah Abdul Rahman


POLIS Sabah menafikan mengeluarkan surat berhubung pemberhentian permit pengecualian perintah berkurung kepada nelayan seperti yang tular di laman sosial, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi berkata, pihaknya tiada mengeluarkan arahan berkaitan perkara itu.

“Jika dilihat juga, maklumat surat itu sesuatu yang sulit dan ia tidak seharusnya didedahkan.

“Namun, bukan kami yang mengeluarkannya dan dalam masa sama saya akan menyiasat dari daerah mana ia ditularkan,” katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas lanjut berkaitan surat pemberitahuan perubahan peraturan perintah berkurung yang tular melalui aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, kejadian itu menyebabkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sandakan meluahkan kebimbangan jika tiada permit diberikan kepada nelayan bagi menangkap ikan.

Justeru, PNK Sandakan ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak keselamatan berhubung perkara itu.

Pengerusinya, Saiful Bahari Muin berkata, notis itu diterima daripada rakan dan ramai komuniti nelayan mulai bimbang mengenainya.

“Jika permit sudah tidak diberikan kepada nelayan, sudah tentu ia akan memberikan kesan kepada sumber pendapatan mereka.

“Notis itu mengelirukan komuniti nelayan dan saya harap ada penjelasan daripada pihak berkaitan kerana setakat ini, kami tidak menerima maklumat secara rasmi berhubung perubahan peraturan perintah berkurung terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Saiful berkata, pihaknya sentiasa menyokong penuh keputusan pasukan keselamatan dan segala peraturan yang dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 9:49 AM